Friday, September 18, 2020

IKAN PUTIH CERMIN

Kita berdua tiba di puncak bukit yang berkolah. Tiga sahabat lamaku tiba terlebih dahulu. Mereka duduk memancing. Senyum tersulam ketika mereka menyambut kehadiran kita. Betapa tidak, mereka sudah lama menyepi sambil menunggu akan sesuatu.

Ketika itu suasana seakan-akan subuh. Mungkin mulai malam. Malap cahaya. Hanya samar memikat. Matahari belum lagi terbit penuh untuk menghilangkan pekat malam. Atau matahari sudah mulai pergi dari garis khatulistiwa. 

Dingin embun ataupun senja, tidak terasa kerana kita hangat bersama. Umpama cinta kita. 

Tiba-tiba, seekor ikan besar menarik perhatian kita yang ada di situ. Ia berenang-renang dekat dengan muka air. Seperti engkau yang dekat denganku waktu itu. Betapa kagumnya kita akan saiz ikan itu. Betapa kagumnya diriku akan engkau, sayangku. Ketabahanmu selalu menjadi inspirasi diriku.

Lalu engkau ke pondok lusuh. Yang atapnya dirimbun daun-daun markisa. Di sana ada kenalanmu berjaga. Ibu kepada muridmu dahulu. Engkau menggapai alat memancing dan aku susul dari belakang. Betapa hati kita ketika itu tidak sabar menangkap ikan besar itu. Bagai tidak sabarnya kita menanti hari diijabkabulkan.

"Apa maksud mimpi ini?" Hatiku bertanya sejurus bangkit dari tidur. "Adakah kita bersama-sama akan mengutip tuah sebentar lagi? Bagaimana?" Terus-menerus hatiku berteka-teki.

Namun yang utama, damai berserta kita ketika itu. Dalam mimpi itu. Seperti selang masa yang dilalui oleh para pemancing. Aman, sepi menunggu... mereka tidak pernah kecewa. Tidak pernah menyesal.

Bak kata pepatah, "Tuah ayam nampak di kaki; tuah manusia siapa yang tahu."



No comments:

Post a Comment