Wednesday, April 14, 2021

BILA KAUTANYA KENAPA

ini aku 

yang dulu

tubuh dan jiwa

dambaanku masih

betapa kini

ia semakin menjadi igauan


senyummu terukir indah

bagai melihat 

panorama teristimewa

dari mata turun ke sanubari

aku mula rindu.


MAS CARRA

Kudat, Sabah

16082020

Tuesday, April 13, 2021

GADIS DI JENDELA HATI

tika itu 

aku di lapangan bola keranjang

baru tiba di sekolah

bersama basikal remaja


sedang kusemat kunci di tiang aru

angin menepis

wajahku ke arah wajahmu


rambutmu jadi igauan

kuning berseri

dibelai angin sulu

kulit wajah nan putih cina

lirik mata persis gadis impian

senyum terukir di bibir

hanya tuhan yang tahu di saat itu


betapa ingin memiliki

terngiang-ngiang di atma sepanjang masa

malah hingga waktunya aku berada di bawah kolong rumah

leka tatkala memaknai erti cinta

bersama butir jagung 

seakan air mata jatuh satu persatu

ker'na satu sesalan; tidak berani melamarmu.


MAS CARRA

06082020

MAK LEHA

...buai lagu-lagu 

hingga didengar di pohon jannah

duhai ibu mertua

tangisku nanti jadi air matamu.


MAS CARRA

08082020



DISENTAP SEPI DI CERUK AMARAH

...ada jiwa merintih sendirian

di satu sudut berantakan

semakin menjadi-jadi juga mendekati

hampir pada pengasingan


ada air bergoncang

umpama ada murka bakal menimpa

diri tersipu malu 

mahu membenami gelombang mati


ada kaca pecah dihentam kata-kata

tiang-tiang menara patah diterajang dusta

ratapan ditampar bertalu-talu

hingga tiada kuasa mahu menolak 

nan kian membuncah


ada diam dibiarkan sebagai penanda cinta

meski batin sesak ditekan

hati bukankah tak pernah silap memilih

hanya ingin jatuh pada detik tepat

persis mengubah hidup bersama harapan benar


tiada sudah kata untuk dipetik dan dipekik

namun pendengaranmu telah tertutup oleh suara

si perasuah.


MAS CARRA

Kudat, Sabah

11082020

KIAN KELAM BILUR SEMALAM

Sosokmu menenangkan

kala luka lewat mendalam

dengan butiran embun kaubalut

perlahan-lahan di setiap inci tubuhku

hingga berkolam padang percintaan


sengaja kugumam lidahmu

tanda apresiasi akan kasih 

tak senang malah semakin hancur kesetiaan

ngeri terasa

torehan luka di malam pernikahan


titis peluh terakhir jatuh

titian semakin jauh

lalu diam berpeluk tubuh

sesuram sungai 

di tanah kinabatangan.


MAS CARRA

Kudat, Sabah

12082020

ARAH MANA

Bias seribu rasa yang satu

menjadi kelam bak awan kelabu

arah mana dipilih perlu

langkah kuundur atau biar kumaju


indah terasa tatkala kumaju

bangunku segar tidurku berlagu

kisahku didamba selokaku dipukau

memori dan lagu menjadi satu

namun sesal pasti berpaku

tika emosi terus berpadu


kuundur langkah sepi menunggu

hilang rasa ditelan waktu

seri anggerik yang mekar dulu

kini ke akar mereput layu

selangkah lagi kan membaham warasku


majuku kan berakhir lesu

undurku kan bernokhtah jemu


di arah mana harus kutuju

hati membentak kian pilu

tidak kumahu berakhir sendu

namun aku masih keliru...

KOPI MALAM

bukan salah kucing nan gesit

geraham menggiong

benang hati rakus bersiung


meja ilham habis basah 

kubiarkan mengalir

kopi malam


secangkir letih gerdam dikeluh

kepul nafas membujuk seni

mendayung harapan


ketika gerimis mulai turun

jejak rona dipadam

tinggal rangkul kenangan


hujan dan kopi

jadi candu 

sepasang rindu.


MAS CARRA

Kota Belud, Sabah

15082020



TIADA HENTI

Sekejap semuanya terasa sepi

apakah cinta itu pembunuh

sedetik waktu berlalu 

mengingatkan aku untuk menegakkan 

bahasa kasih


tertiup angin menusuk hati

melihat senyum sepanjang hari

puisi ini tidak mahu berhenti walau malam larut bergerak

walau bintang hening ketika aku mengorak langkah


meskipun ada jurang antara kita

mutiara jernih terus mengalir tanpa henti

sudah layu tanpa serinya

hati yang menangis diluahkan jua

hingga hanyut dalam renungan sendiri


kucurahkan segala rahsia 

agar kaulah yang akan menentukan rima 

pada penggalan puisi

memenuhi setiap ruang senggang di udara


katakanlah ini puisi pertama 

dibawa lari dan dicatat pada kanvas usang

indah tiada tara 

satu demi satu mengelupas rasa cemas di dada.


MAS CARRA



GEMPA SUATU HARI

Akukah yang goyang atau lemari

akukah yang goyang atau jalan ini tidak seimbang

akukah yang goyang apabila tibanya itu hari

oh pusing

lari mari lari

yang terbawa cuma apa

kepercayaan, pengetahuan dan kasih sayang.

Bukan harta yang runtuh.


MAS CARRA

Kudat, Sabah


MEGA KINABALU

...stok sedia ada di DBP Cawangan KK. Cari kamu...

DOAMU KEKUATANKU

Kekuatanku 

adalah senyummu

dalam langkah berserta doamu


kelembutanmu sutera 

meski terluka 

tak pernah mengeluh seksa


dakapan hangat lembut tanganmu menaburkan debu 

hingga hilang dibawa bayu


kekuatan baharu dengarkanlah

usah pernah berhenti

pinjamkan padaku tenang dan doamu


tawanlah rinduku selama mampu

saat dipuji mahupun disisih

jadikan cerita itu butiran embun pada pagi yang mengiringi dan melengkapi kehidupan ini.


MAS CARRA



SELALU ADA

Apa yang selalu ada 

ketika kau menjarakkan diri 

menjadi asing di tempat sendiri


Apa ada kerinduan? 

Yang menyeksakan sepenggal senja.


Aduh jaga dirimu baik-baik sayang

tak ingin aku jauh darimu, namun apa dayaku.


Kesempatan ini hanya dalam sepatah puisi bak perahu yang berlabuh di perasaan. Menjauh dan bersembunyi dari kenyataan, sering ditemui dalam kehidupan.


Apa bisa kita jadikan doa ibu sebagai naungan kebaikan atau teruskan perjuangan kata kalau dunia ini akan ada akhirnya kelak.


Tanpa sayap di setiap kesedihan, semoga cahaya matahari selalu diterima, selalu ada jalan keluar.


Kerana aku akan hadir selalu bersama dalam bait-bait memori lalu.


MAS CARRA



ANTARA KHIMA, KHELADI DAN KHARI

Benarkah setiap hari kita hidup dengan cabang-cabang pilihan?


Lihatlah tangkai kheladi yang jalannya lurus, dahan khari bersimpang-siur.


Lain pula cangkerang khima; bergelumang seiras ombak di samudera.


Apakah itu takdir atau kerana pilihan kita?


Hidupku umpama sedang makan khima masak khari sambil memerhati kheladi di laman tetangga.


...menikmati hari-hari yang istimewa.


MAS CARRA

Kudat, Sabah

BUNGA YANG PUTIH BERSENI

Tadi aku nampak segerombolan merpati putih di atap rumahmu

aku jadi takut akanmu

walaupun jauh di sudut atmaku mahu

ingin sekali bersamamu melangkah-langkah kecil di Pantai Manis, Papar.

Entah kenapa hatiku sangat berwaspada

seakan-akan pernah dikecewakan wanita

malunya bukan alang kepalang

kecewanya tahap jamban

ah... hatiku benar jika rasanya begini

engkau bukan sembarang insan yang senang kulewati


Engkau bak merpati di pohon yang turut memerhati; menanti gagah bagai meranti

terlalu susah untuk dirapati.


MAS CARRA

Kudat, Sabah

HITAM

Hitam itu tandanya misteri

kerana malam ramai yang ligat bermimpi

entah kenapa

itu mimpi yang indah semalam bagiku

mimpimu bagaimana kawan


seolah-olah benar nyata

kerana jariku tuntas merangkaikan beribu patah kata

hingga terjalin satu ayat yang sangat bererti

masa itu abadi yang tak ternilai

jam tangan yang digelangi lengan lelaki membawa satu tanda—

dia menepati janji.


Jika pernah kautemu lelaki yang tidak menepati janji, bateri di hatinya pasti sudah tidak berfungsi. 


MAS CARRA

Kudat, Sabah

SALAM MARIA

Salam Maria penuh rahmat,

Tuhan sertamu

Terpujilah engkau di antara wanita,

dan terpujilah buah tubuhMu, Yesus.


Santa Maria bunda Allah

doakanlah kami yang berdosa ini,

sekarang dan waktu kami mati.


...

https://youtu.be/GC1Lqq8ILhc



KERANA KITA WANITA KUAT

Dedaunan jatuh menyembah bumi 

menutup jalan si sang semut

desir angin meniupi daun-daun itu

yang jatuh satu persatu

menambah perit hingga tak keruan


tiada jalan pulang rasanya

air mata ia mengalir tatkala hujan mulai menitis

pulang tak dapat—

anak-anak terpaksa rela menanti 

dedaunan terbang dan titis hujan berhenti.


NOR NOIMIN BETUNG

Kota Belud, Sabah

LAYAR IMPIAN

Jika mimpi masa silam

bisa kusimpan dalam kaca

jadi perhiasan

pasti aku abadikan

zaman riang kanak-kanak



'pabila hujan mengundang

suasana bahagia

dalam hidup yang seindah

mimpi yang tidak pernah

melukakan perasaan


tapi kini bila dewasa

kumula sedar betapa mimpi

hanyalah suatu permainan

jiwa insan dalam kesepian


jika mimpi cinta kita

bisa kuzahirkan

jadi lukisan yang menarik

pasti aku sentosakan

malam pesta bila engkau

lafazkan janji dan memelukku

sepanjang tarian

hingga pipi kuterasa

basah dalam tangisan

yang penuh kesyukuran.


~ Ella

https://www.facebook.com/IramaMuzikDanLagu/videos/620004755362505/

NASI LEMAK DAN AWAN DI UFUK DUNIA

Setiap tahun baharu ada suatu harapan yang sering terpasang dalam diam

hati meronta-ronta ingin tahu adakah ia akan tergapai kemas

atau pergi bagai merpati yang tadi menjadi penemanku makan

hidup kita terlalu letih jika terus berharap

kenapa tidak kau kuis-kuis ibu jari kakimu di lantai bumi

sambil kunyah-kunyah sambal dan nasi

dan telanlah walau sepahit manapun kacang hangus yang terjual

kerana bukankah esok subuh ke tandas juga kita akhirnya?


MAS CARRA

Kudat, Sabah

PANDANGAN MATA TERAKHIR

Ingatkah lagi engkau sahabatku tentang cinta pertama

siang dan malam kita larut bercerita

tentang hidup yang sejauh impian

tahun itu masih lagi sembilan belas umur kita



hari ini di tahun empat puluh tiga

ingin kubertanya apa yang dimasak oleh isterimu?

Aku di sini berlaukkan sinagol.


Ikan yu yang kita pancing pada waktu lalu

begitu menyeramkan

rupanya jika dibongkar rahsianya

ia enak sekali dimakan.


MAS CARRA

Kudat, Sabah

JOM MAKAN; BUKANKAH HIDUP KERANA MAKAN

Ketika dia dan aku bersama tidak lama dahulu

kami bercerita tentang dewasa

kami tahu hidup ini perlu maju dan terus mampu

tapi tahukah kamu, kata watak dalam filem itu

berkat tidak selalu lalu depan matamu

seringkali di belakang tanpa pernah berjanji temu

semuanya ini atas keyakinanmu–


Dia dan aku tahu sejauh mana kebenaran itu 

sambil makan bertih jagung.


MAS CARRA

Kudat, Sabah

PELEMBUT SUTERA

Entah kenapa selalu aku rindu pada pantai

apakah kerana putihnya butir pasir yang terbaring di antara darat dan lautan

atau pasti kerana hembus angin yang silih berganti

kadangnya dari utara

ada waktunya dari selatan

bak kompas yang selalu membawaku kepada rindu

hingga jauh mata memandang seakan hidup ini tanpa makna


sekali hadirmu dalam hidupku

nyata ada suatu makna yang terlalu indah

paras wajah, tubuh dan tingkah lakumu membuat aku kembali gagah

seakan masa mula-mula aku bercinta

dengan ibumu.


SELAMAT HARI KASIH SAYANG


MAS CARRA

Kudat, Sabah

BERSEORANGAN TETAPI TIDAK BERSENDIRIAN

hati yang indah

hidup bersederhana

bersama Dia


MAS CARRA

Kudat, Sabah

23082020


#haiku

CINTA BEDA AGAMA

Apalah erti cinta tanpa sebuah lagu

jika kauhulur padaku hanya risalah pencari nafkah.

SEDEKAH

Sosok tua bersandar 

pada dinding sebelum kenyang

buku lalinya dikuis kuis oleh pipi bermisai

dengan suara tak difahami cuma dikenali

rentak mengiau

bulu comot dan gondol perah simpati

maka berbisik tuan tadi kepada ia

alahai sayang 

takkan rugi jika hamba belanja

kita bersama hidup di alam semesta

ngiau... sahut ia 

tapi sosok tua mana pernah mengerti.


MAS CARRA

D'Farah Cafe, Kuala Abai

23082020

JAGUH KAMPUNG

di kampung

kaukalah 

kaulari

ke bandar

kaukalah kaumati


MAS CARRA



22082020

SENANDIKA

...mari susun aksara di jumantara dengan atma renjana moga kirana sahmura memaksi dari bumantara nirmala persis puspita sujana...

MEMORI SILAM

Kala aku menyulam rasa

botol-botol kerdil seru firasatku

ia langsung tak bicara

bersahaja di sana

atas batang kayu meranti

lalu menuntun mata ke arah inti atmanya

betapa benar 

pernah diabadi rangkai kenangan

dan masih menanti setia

sendiri


entah kenapa

lapar dan dahagakah soalnya

kepada satu pelukan 

juga ciuman rindu

agar penantian ini berhenti


saat ini terlalu mustahil

hanya arca tinggalanmu jadi saksi

saban hari kumenangis

mendoakan namamu

tenang di alam barzakh.


Kemalangan hari itu menjadi trauma hidupku, kerusi roda ini selalu mengingatkan agar memandulah berhati-hati. 


Ia bukan tentang cepat atau lambat. Hanya perlu tiba di destinasi yang dituju. Biarlah aku lumpuh kaki tapi bukan lumpuh hati.


MAS CARRA

Kudat, Sabah

10082020

Friday, April 9, 2021

SUNGGUH

Apa kau rindu?

Saat pertama dicumbu

dengan saksi si Laut Sulu

dari dahi ke nafasmu dan meniti di pipimu

senyummu tika itu penuh makna

antara suka dan luka


semalam aku terbawa rindu yang lalu

hingga terlena sepanjang subuh...


kita tidak lagi seperti dahulu

kerana tahu erti bersatu

di manapun engkau ada, di situ juga aku 

dalam hatimu

I love you.