Saturday, January 30, 2016

JURNAL ABADI

bangunkan aku pada dinihari
dan yakinkan aku untuk terus mencari
pada sesuatu yang pasti

kutintakan dalam sekeping diari
bersama hati dalam jurnal abadi
demi hari-hari yang kulalui

dahulu aku berjanji
tidak akan ku sepi kerana ada puisi
dan setiap hari pasti hatiku tenang menanti

dahulu aku berjanji
tidak akan ku sepi kerana ada mimpi
berdeklamasi sepanjang hari...

bangunkan aku pada dinihari
dan yakinkan aku untuk terus mencari
sebuah puisi,
kerana suatu hari nanti
pula pasti
aku akan pergi
dan semoga bila sahaja kau lihat pada warna pelangi
kau tahu mindaku kekal bersemi...

MAS CARRA
http://tamanberkasihasmara.blogspot.my/
27 Januari 2016

‪#‎midorijournal‬

Wednesday, January 27, 2016

AKULAH, HARUMAN DARI SYURGA!

Pernah aku baca sebuah buku, kata penulisnya:

"Manusia cepat bosan."

Dan aku telah buktikan kepadanya, aku bukan manusia biasa. Setelah bertahun-tahun lamanya aku mencintai PUISI. ...masih tidak aku bosan.

Ya, aku bukan manusia biasa.

AKULAH, HARUMAN DARI SYURGA!

MOMODUIT

aku ke pantai menentang arus
mata idamkan sebuah ketenangan
keluar dari perut kota
bergelimpangan
hamparan sampah
nan menyampah


melinsung menyantun sapa
apa khabar katanya
rehatkan minda dari tekanan kerja
datanglah
sekali sekala
biar segar dan ilham menyergah

bagaimana aku tenang melinsung
tibanya di sini
mata menyaksikan binasa
tentu ini kerja orang kota
tidak pun semua
pasti ada tidak pertahan maruah

tenang saudara...
melangkahlah lebih lama
lihat nun di sisir sana
ada orang kita sedang momoduit
mereka bukan sekadar cari nafkah
hasilnya bawa gembira

ALEXANDER BUNGKAK
Kudat, Sabah
15 Januari 2016

KEPADA CINTA YANG HILANG

warkah ini aku tulis
kepada
cinta yang hilang
intinya tentang rindu
serik kutulis tentang keluh

hm...

ALEXANDER BUNGKAK
Kudat, Sabah
16 Januari 2016

RADHI

pakcik kirimkan bait doa
kepadamu
teruskan perjuangan dalam dunia sementara
abadikan pula
untuk tanah barakah
semoga berbahagia anak saudara
dengar kata ibunda
apatah lagi ayahanda

ALEXANDER BUNGKAK
Kudat, Sabah
16 Januari 2016

TENOM

rinai menggamit gerimis
tiga minggu berlalu tanpa suaramu
sesaat kulihat senyum di bibirmu

menguis pergi resah yang membelit
aku suka gurau sendamu
selalu mengusik titi kalbuku
mendakap dalam pelukan kasih tidak tertafsir

mungkin di minggu empat nanti
biar sesat kutelusuri
denai cinta nan hanya berpandukan
haruman kopi bermadu
yang tidak pernah gagal hadir

ah, jiwaku seakan hilang
hilang pada sesuatu kerinduan
yang kunukil pada diari hati

ANONYMOUS
somewhere over the rainbow
18th January 2016

BERIAN SAMPAI MATI

Murut Tagal menulis kisah sendiri
nan bertajuk, “Berian Sampai Mati”
kisahnya bermula di Sepulut
Sabah

seorang lelaki kota
datang ke desa melamar mutiara

tersimpan dua dekad lamanya
rambutnya panjang paras pinggang
halus manis rupawan
adabnya selembut gadis desa Tambunan
matanya bulat
dipandang tidak pernah hati jemu

wali lelaki pun bertanya,
“Berapa berian mawar merah?”
Wakil wanita pun bersuara,
“Adat tidak akan kekal jika tidak diamal…”
mata pelamar dan mata wali berpandangan
tanpa suara…
dalam hati mungkin berkata
“Biar mati anak, jangan mati adat.”

Tiluan, Binukul, Binalayungan, sampah nu kadai,
dua ekor kerbau, ahung,
vungkas, sisitan, sinikot, salupai, rarangkol, holong,
pinongkoloh, pipirot linggit, pipirot sukayan, tapi dan kain kinayuh.

ALEXANDER BUNGKAK
Kudat, Sabah
22 Januari 2016

BARU JUMPA

ke mari anakku
ini Fakel Rimau dari Rimou Labo
telah semat dianyam
kulilit pelingkar lutut
dan jadilah Dayak Lundayeh


ke mari anakku
kusarungkan kulit kayu Timbaran
baju tanpa lengan
membelah dada tanpa butang hanya seikat depan
biar tubuh sasa jadi lambang kegagahan

Baked Talon baju pahlawan
adakala Timbaran lumat jadi tali pegangan
kulit Talun, Tarap hutan seiring kulit Timbaran
sukarnya tahap menggigilkan
jelas penjahit silam, kampung Baru Jumpa

dapatkan kulit Timbaran
kulit dipukul Nibung penawan
disulam benang seniman
membentuk arit merah atau hitam
dilukis hendak empunya

tanpa celana
hanya cawat dari kayu Timbaran
pakailah bila berladang
pakai juga tika berburuan
Sigar Suba pelindung terik sinaran.

ALEXANDER BUNGKAK
Kudat, Sabah
23 Januari 2016

SENYUM SAHAJA

...engkau seharusnya cinta
bukan derita
engkau seharusnya bahagia
bukan sengsara,

semoga selalu ada
cinta
dan bahagia
dalam hati adinda...

senyum sahaja
usah dilayan duka nan lara.

MENATAP CINTA

Tidak pernah aku puas
menatap cinta
kerana bila duka
ke laut akan aku untuk melihat
air nan tenang
juga luas pemandangan
beransur pulih kekecewaan


tidak pernah aku puas
menatap cinta
kerana bila luka
menyelam aku ke dasar ejaan
kususun satu persatu aksara indah
semakin lama semakin tebal muka warta
beransur pulih kekecewaan

tidak pernah,
tidak pernah aku puas
menatap cinta
kerana bila suka
aku menadah wadah doa-doa
segala pahit dan murka
kuleraikan dalam tangis redha.

MAS CARRA
Kudat
24 Januari 2016

SELALU IBU RESAH

setiap hari,
sebelum melelapkan mata dan risau mula menjelma
tatkala bermimpi indah
ibu sering mencipta rasa
merenung apa akan dicecah oleh anak-anak dicinta


selalu ibu resah,
mengingatkan diri tentang makan bila rehat putera
juga rehat si puteri mahkota
bukan ibu dari keluarga nan kaya
ibu hanya insan biasa

dan kini aku pun dewasa
aku turut mula merasa resah
seperti mana ibu nan kucinta
bagai resahku memanggil dia
agar hadirlah dia memberi cara, bagaimana...

MAS CARRA
Kudat
26 Januari 2016