Monday, February 15, 2016

BOSOU DALAM INGATAN

Diramasnya nasi dalam besen biru muda
sebatilah hasil tumbukan buah kering kepayang
lalu ikan Turongou sebesar satu dan dua jari
diselamkan kembali
dalam dimensi nan sungguh berbeza
dijadikan ia selesa


sesekali angin gunung berlalu
pada petang pertama cuti tahun baru Lunar
libasan daun kari nampak di jendela
betapa aku rindu baunya
segar nian
daging diperap kari lazat dibelai daun India

butir garam disemai dengan penuh kepuasan
mengakhiri lamunan ketika desir angin bertiupan
resepi suku Kadazan dimuatkan dalam balang lutsinar
kekallah bersama alam
makanlah bila cukup bulan
bukan hidangan setiap teman; hanya dia nan kebiasaan

sempena hari berkasih
aku mendambakan sekali lagi sentuhannya
cinta tiada kecewa
tiap suapan jeruk ikan
menggamit kembali suasana petang hari itu
bosou dalam ingatan

MAS CARRA
Pogunon
14 Februari 2016

No comments:

Post a Comment