Melukis hujan di tengah hari telah jadi minatku. Ah, mungkin kerana bosan aku dengan cuaca panas membahang ini. Kata teman lamaku, bahang yang terasa ini, petanda hujan akan turun.
Rasaku kini, tubuh disimpan dalam peti ketuhar. Masak tubuhku perlahan-lahan. Ketika saatnya di takat didih, bagai lebur lemak dalam tubuh kerdil ini. Basah berkeringat.
Tanpa sedar, aku mula melukis hujan di antara awan-awan tebal itu. Sedikit ragu hatiku kerana warna putih awan itu. Bukankah jika akan hujan, kelabu warna?
Oh, tiada hujah lain mampu kunyatakan. Terima sahajalah. Pasrah. Mengharap aku, hujan itu segera tiba. Agar tenang hatiku yang sedang rindu akan bunyi titisan hujan.
Tik, tik, tik.
Dan rasa segar dengan hawa dingin yang membahagiakan diri. Nyaman.
No comments:
Post a Comment