Saturday, December 24, 2016

KEPUTUSAN

Setelah lima jam aku duduk sendiri
detik waktu itu
genaplah
sepuluh tahun hidupku tanpa cinta
masa yang lama inilah masaku untuk
mencari diri
telah sedekad lalu terputus hubungan
cinta kata orang
berkata cinta pun aku jadi seram

berdirilah aku kini
masih memandang jauh ke hadapan
tapi...
bukankah yang jauh telah dijanjikan untukku
jadi sia-siakah sepuluh tahun lalu itu
kenapa hari ini hanya aku anggap sebagai proses kemenjadian
sedangkan hari inilah realiti
esok pun belum tentu ada untukku lagi

aku membulatkan keputusan
untuk menerima cinta kembali
ya,
pastilah pada rasa bahagia
seperti setiap kali aku lihat panorama indah
di bendang
di kolam
di lautan
di hutan
di pergunungan
di dalam aliran sungai yang mengerti
ketika waktu aku menyendiri
menangis dan meratap sedih.

Aku kembali mencari bakal isteri.

Bukan suka-suka;
aku mahu berkeluarga
aku mahu beranak pinak
aku mahu harta yang sederhana dijaga
ketika aku sudah tiada
dan doa bahagia
sementara aku melangkah ke alam teristimewa.

MAS CARRA
Kota Belud, Sabah
4 Disember 2016

CINDERELLA

kepada anak perempuanku

...lain hari
apa yang berlaku ketika ini
hanyalah permulaan
kepada sesuatu yang tidak kausangka
tanpa diduga
kau akan berenang di dasar lautan
tempat insan tidak berinsang
tahan nafas dan teruskan...

TENTANG SESEORANG

Kuukir
lukisan waktu
pada batu bila musim tengkujuh
surat cinta kepada seseorang

malah kutebarkan
seantero dunia
agar bugar dan ada yang mangu
mahu tahu

betapa aku luruh
menanti musim debunga
pesta salju baru saja berlagu
syahdu

malam ini
begitu
siang tadi kerabu
kurasa tak mampu

kupun meninggalkan ruang rindu
tiada lagi hari-hari kembangku
mata nyahpengaku
pun mula beradu

mahukah engkau ini ungkap seruku
setelah seketika waktu
kita bersama melakar sesuatu
s e s u a t u . . .
suara tentang suka
suara tentang luka
lara
bahagia
sengsara
akhirnya gelisah
dan berpisah
mahukah kau temanku

bila pula kita menjalinkan setia
pada cinta
yang kaurasa
kurasa dan,
entahkah jawabnya
warna dibiarkan mamah
tanpa tema

jawablah
aku sememangnya rasa
jika hanya aku terkhilaf
hatta kaumaafkanlah
sudah pasti aku yang pergi dulu
sebelum kautahu

semoga...
pada waktu musim kering berlaku
lukisanku kautemu
pada batu yang pernah mengharapkan
kehadiranmu
untuk seumur hidupku.

MAS CARRA
Penampang, Sabah
23 Disember 2016

SAMARINDA

menjawab sudah

Di sini juga aku ni abang
kau pun tahu juga di mana kukerja kan
Damai Medic...
macam mana lagi
memang ramai orang sakit sekarang
kami pun bingung
orang yang bertambah
atau sakit yang berevolusi ni
hati kau kuhayati juga tu
ndada salahmu
nda sesekali kuberniat untuk menyakitimu

begitu aku pun jua
s'tiap bangun dan tidurku
s'lalu kau kurindu
waktu antaranya pun sama
bukan nda diingat bah
dilayan juga
cuma sibuk ni memantau pesakit
kena lagi on call
nah...

aku pun bebalik sebut bah;
pak cik dan mak cik rehat dulu ya
keputusan masih dalam kajian
sebarang tindakan lanjut
akan dimaklumkan kelak
jangan lupa makan ubat yang diberikan
ikut kaedah yang ditetapkan
semoga cepat sembuh

Abang
tiada niatku
untuk mempermainkan perasaanmu
apatah lagi hatiku sendiri
beginilah
pasal kahwin
abang bersabarlah dulu
muda lagi bah kita ni
baru 20-an pun

nah...
kumesej kau sudah kan
kuat betul bah kau ni merajuk
kalah-kalah perempuan
muka saja macho
tapi hati lemah lembut betul
suka i, hihihi
apa lagi mau difikirkan ni
dari abang saja tu
kalau berani datang bah meminang

ya abang
bisnes memang begitu
ada waktu hasilnya tinggi
ada waktu hasilnya tidak mencapai sasaran
bilang tu pak cik di tamu
bisnes ni macam memukat ikan di laut
tapi abang kena yakin bah
teruskan usaha
barulah namanya lelaki sejati
usah cepat mengalah ya...
chayok-chayok!

MAS CARRA
Inanam, Sabah
23 Disember 2016

PALING WIN

dijawab Sakinah

Ya abang
hensem bah kau itu
butakah kau ni sayang
butakah cintamu
kenapa tidak kau sedar
betapa sukanya aku padamu

perlukah setiap kali dan hari
kuucapkan kepadamu
I LOVE YOU
kenapa
tiadakah sedikit pun keyakinanmu
terhadapku
banci saya oh...

tapi,
tapi dan tapi kau itu memang budu bah
senyum pun nda bolehkah
kawan baitu
bukan kekasih
jadi yang kita jumpa dan jalan-jalan
sambil berpegang tangan ni
kau ingat kita main-main
kalau mamaku nampak macamana
ada berani
cemburu saja konon
kau belum tau cemburuku

Abang...
ya bah aku tau juga perasaanmu
memanglah bah lumrah perempuan ni
kena urat
lesung pipit di pipi tu bukan masalah baitu
mamaku pun ada juga
steady ja pun bapaku
sigup-sigup lagi dia macam tiada perasaan

pasal win-win ni
susah mau cakap abang
dari tuhan saja tu
kalau kita ni jodoh, jodohlah baitu
jangan saja mau jodoh tanpa usaha

legalah sudah hati kau kan
sudahku balas mesej kau ni
kau gerigitan lagi
sorry...
sibuk bah aku tadi urus kerja
banyak betul diurus
mau kumpul duit kan
manatau bisuk kita kawin
maukah

aku tau juga kita ni bukan dari keturunan raja
tiada bah manusia ni dizahirkan kaya
dari kita saja baitu
nasiblah dekat ja rumah kita kan
ada pasangan kekasih tu jauh tau
biarlah dorang
mau cakap pun susah
masing-masing sudah dewasa
pandai-pandailah mencari kebahagiaan diri

pasal kawan-kawan kau yang bertanya tu
petanda baik tu abang
dorang suka dengar kisah cinta kita
apatah lagi
cinta sesama jiran
banyak juga drama macam begitu
yang akhirnya dorang sedar
bahagia sebenarnya ada di depan mata
cuma perlu buka mata

aku pun jua bahagia
dalam sedar dan nda sedar
realiti juga mimpi
setiap waktu bersamamu.

MAS CARRA
Penampang, Sabah
22 Disember 2016

SAMARINDA

Kau pigi mana lagi tu
cukup-cukuplah belajar
doktor sudah kau itu
hati orang kau periksa
aku punya nda pun kau paduli
kenapakah itu Samarinda
apakah salahku
jangan siksa perasaanku bah

taukah kau
setiap bangun dan tidurku
kaulah yang s'lalu kurindu
waktu antaranya
bukan nda diingat bah
sibuk kan aku menjual
laku betul jualanku
jual murah punya pasal

balik-balik aku sebut;
nah mambalilah kamu ini barang
setumpuk lima
selagi barang atas tangan
nah ambillah
kasi kau harga sepuluh ringgit
kamu yakin saja
bukan s'lalu ni

Samarinda
hatiku bukan alat untuk kau uji
nda tahan sudah ni
kawinlah kita capat
marilah
cukup-cukuplah kau belajar
bukalah pintu hatimu itu
untuk membina sebuah keluarga

nanti kalau kau datang atau SMS aku
dan tiada lagi jawapan dariku
anggaplah yang aku telah pergi
mungkin jauh tempat yang kutuju
mungkin nda lagi ni balik-balik
kau pikirlah
pikirlah baik-baik
atau duitku tiada lagi,

kasi bank in ar...
nombor akaun tatap sama
cukuplah kali satu ratus tu
bikin tambang
begini laini kalau barang nda sudah laku
begini juga kali kalau orang nda sudah dimahu
belajarlah kau
nda sudah kukacau kau, kbai.

MAS CARRA
Kota Belud, Sabah
22 Disember 2016

PALING WIN

Sakinah
kau kasitaulah bah
hensemkah aku
jujurlah kau padaku
kau sukakah akan aku

kalau kau nda kasitau
nanti orang lain ambil aku tau
betulkah yang kau cakap dulu tu
yang dalam hatimu cuma satu
hanya ada aku

tapi...
kenapa kelmarin kunampak kau
menguntum senyum semacam sama tu orang
kau ni seriuskah atau nda ni
jujurlah bah
nda juga kumarah
sedikit cemburu saja

Sakinah
betul-betul ni kusuka padamu
walaupun ramai bilang kau cute
sebab ada lesung pipit di pipi
apaku peduli
aku suka juga
biarlah berebut kami
harap-harap akulah yang paling win

nanti
kalau kau sudah baca ni mesej
kau balaslah bah
sepuluh sen saja baitu mau SMS
kalau kau pakai tu Whatsapp lagilah
percuma
apa lagi kalau pakai Messenger
bukan saja free tapi
memang ikut-ikut sama tu Facebook
ini mesej pun kau baca di FB kan...

hm...
aku tau juga yang aku ni bukan jenis mewah
biasa-biasa saja
jadi kenapalah bah kan
cuba kau tengok tu orang-orang mewah
kalau mau cari ketenangan
memang perlu kos yang banyak juga
kau tengok kalau aku
pigi belakang rumah saja
di sana ada harapan dan kebahagiaan

ramai juga yang tanya
kenapa dan macam mana aku boleh begitu
aku pun kata kepada mereka
yang sebabnya,
kau tinggal di belakang rumah saja

dorang ketawa tau
maksudnya dorang sudah bahagia
ketika bersamaku
aku pun jua
tika bersamamu.

MAS CARRA
Kota Belud, Sabah
21 Disember 2016

KAUCURI HATIKU

Pendam rasa
ku ke puncak kinabalu
apakah pendakian ini nanti
selesu hatiku
siapakah gadis itu
sungguh manja jelingannya

bagaiku mengejar mimpi
memanjat ke langit tertinggi
mahu menggapai bintang terperi
begitu lesunya aku

bukankah mudah
mengatakan suka kepadanya
hatta kenapa bibirku kelu
atma tidak pula begitu

arghhh...
ke sini pembesar suara itu
biarku nyanyikan kau sebuah lagu
menyampaikan bunga cintaku padamu

dengar sebaiknya
aku sayang padamu
aku ingin dirimu
selalu bersamamu
aku sayang
padamu.

MAS CARRA
Kota Belud, Sabah
20 Disember 2016

TENTANG RASA

Tahukah engkau sayang
ketika ini
aku mendengarkan sebuah lagu cinta
senja nan merah

mataku digenangi air mata
apakah tentang rasa yang bahagia
atau sengsara
sendiriku tak mengerti

senja sering mengingatkan aku
kata putus yang kau ucapkan
dan malampun mulaku termangu-mangu
mengingati dirimu
sungguh hatiku buntu

seakan tiada lagi kutunggu
bila dinihari bermula
hatiku kering
sedangkan kau yang kusayang
telah pergi
atau akukah yang pergi

sebelum kau ke mari
aku tiada resah
tiada khuatir
dan kaudatang membawa cahaya purnama
penyuluh jalan hidupku

tabahlah wahai hati
milikmu dan milikku
jika inilah yang telah tertulis
ibu tetap selalu merindu dan mendoakan kesejahteraanmu.

MAS CARRA
Kota Belud, Sabah
20 Disember 2016

BUNGA BERSERI

Adakalanya aku bermimpi
amat sukar meneruskan hidup
selang suatu masa aku berdoa
moga kita 'kan bertemu
s'moga kita akan bertemu

adakalanya aku bermimpi
amat sukar meneruskan hidup
selang suatu masa aku berdoa
moga kita 'kan bersatu
s'moga kita akan bersatu

namun yang pasti
bunga-bunga menari
menghiasi alam hidup ini
walau seminit aku berjanji
tak 'kan pergi dari sisi
tak 'kan pergi walau seminit

dengarkanlah
puisi tentang hidupku
usah biarkan rahsia cinta kita
berkocak di air tenang
namun siramilah ia
hari ke hari
agar terus tumbuh berseri.

MAS CARRA
Kota Belud, Sabah
20 Disember 2016

PELANGI SENJA

Jejambat ini tinggi pengasih
pengikat sepi dua insani
setelah alam tenang disirami
pelangi lalu berpaksi

kami bicara hingga luruh bermula
melakar dan mewarnai citra
langitpun berbahasa
bersenandung di musim bunga

sirna cahaya
bayang rahmat mula terasa
kala cinta deras bercerita
relung senja datang berserah

lampu neon mula menulis luka
bertanya khabar
namun kepada siapa
pengalaman cintanya pertama

jejambat ini tinggi menyisih
memahami budi pekerti
setelah gerimis pergi
kamipun pergi.

MAS CARRA
Kota Belud, Sabah
19 Disember 2016

MUKJIZAT

Saat badai hidup menerpa
usahapun rasa tersisa
debu tidak mahu berpisah
gerimispun sudah terlalu gelisah

angin kencang
selama ini menyapu resah
kembali menyapa pada gugus gulana
tidak mampu kutepis
liuran air di ranjau perjalanan

kurajut lingkaran langit biru
kukalungkan di atas bumi yang terus bersaksi
di gerbangnya aku mengenal-Mu

di bawah terik matahari
Engkau usap peluh yang membasahi elok wajahku
saat itu kulihat wajah-Mu kusam
baju-Mu kumal
namun Engkau tetap tenang

dengan kesungguhan hati pada-Nya
akupun makin bertumbuh
dan lebih memahami akan erti kehadiran-Nya
mensyukuri limpahan kasih kurnia.

MAS CARRA
Penampang, Sabah
16 Disember 2016

CINTA TERBAIK

Dan
aku baring
tanpa peduli lagi
pada keindahan kata-kata
hanya aku mahu kenang
sini di padang

memandangku ke langit
melukis perasaan padanya
wakil sukma

tentulah
nama pertama kutulis
disusuli
dengan wajah yang menguntum senyum
aku
turut tersenyum
riang ria gembira

ingin sangat mengatakan kepadanya
aku suka
ya, aku suka dia
suka sangat ketika tahu
dia pun begitu jua.

MAS CARRA
Penampang, Sabah
13 Disember 2016

BATANG PERINDU

Entah
denai inikah yang bersalah
atau aku yang gopoh memilih simpang
lalu sesat tak ketentuan

aku mahu pulang
sudah rindu pada seseorang...

dalam gelap dan lembap yang pekat
aku bagai buta bermata
meraba-raba tak mampu jauh ke depan
jatuh tersandung
seperti disengajakan oleh akar rimba
hingga luka menyedarkan aku
dan impian berlalu pergi

hanyut aku dalam perasaan pilu
dalam lagu kusandarkan kesepian
ketakutan
dalam pertarungan waktu
meskipun bertatih dengan peluh yang membasahi raga ini

kumemilih lagi
semoga kali ini
aku berada di jalan yang benar
bertenang dalam tafakur
hatiku berputik lalu menguntum bersama mazhab

ini ilusi dunia bisik hatiku
aku menggenggam erat batang perindu
ia pedoman dan pertahananku
kala awan siang tak kelihatan
diliputi rimbunan daun-daun nun hijau.

MAS CARRA
Penampang, Sabah
12 Disember 2016

MERAH ATAU UNGU

Hari-hari seperti yang lalu
depan pintu almari aku termangu-mangu
sedang mata ligat memilih
merah atau ungu
hati rawan dan terkedu
jadi bosan aku

kenapa aku perlu segak untuk dia
hingga naluri cinta buat aku gundah
tatkala ini
merah atau ungu
dua-dua sama menyerlah
satu penuh rasa dan yang satu elegan

masih aku berkemban
dalam kamar tidur
depan pintu almari yang terbuka
bak pintu hati yang kucinta
si dia berdaya penarik bagiku
sering memukau pandang dan suara

segera kugapai telefon bimbitku
dan bertanya kepada dia
warna apa yang sepatutnya
gelaknya hingga bingit corong telinga
jawabnya mudah sahaja
tunggu...

Kerana itulah aku menunggu dia jadi pelengkap hidupku.

MAS CARRA
Kota Belud, Sabah
11 Disember 2016

SEMAKIN SAYANG

Semakin hari semakin tepu jadiku
setiap kali kuselak muka surat bertulis
pandangku semakin luas tak termaktub
jadi hina aku
malah semakin binasa

mujur bukan buku saja temanku
ada laut kelihatan tenang tempatku adu
semakin lama kurenang ke ufuk nan jauh
semakin penat jasadku
rupanya...
garis-garis alun di kejauhan sarat dengan percubaan
seperti yang terukir di kedut rupawan.

MAS CARRA
Kudat, Sabah
16 November 2016

ERTI

Kepul angin memutih
diolah daya sejati
alur kupandang tinggi
hingga sedar bulan perhati

ia hanya sendiri
kawah bukti lelaki
pernah mungkin beristeri
kini mati hati

betapa lama mengelilingi
bumi di bima sakti
lelah bibir-bibir pengkaji
namun ia terus saja menyinari

kutaruh sekeping hati
hati-hati
bila bulan tak kukecapi
janji bebas nurani.

MAS CARRA
Kudat, Sabah
8 September 2016