Wednesday, September 30, 2015

PUISI GERILA

Senyap aku senyap
tatap tidak tetap
sentap satu aksara rentap ribu suara
sampai resah


sebaik datang berjabat tangan
namun datang terus ditentang
hulu
hulur senapang

bongkar dan selongkar
buku-buku terbakar
arus perdana kami sangkar
terus mekar atau terlakar.

Kita terlalu sunyi, "Sang Pemuisi, mari bertengkar!"

SE... SEORANG

Ya,
di meja ini dulu seorang lelaki muda berkelana sendiri
memiliki kepingan wang yang sederhana
menanti cahaya terang...
untuk bersama se... seorang

tidak pernah lelaki itu tahu
akhirnya waktu itu tiba
setelah melalui lorong-lorong kekusutan
meniti atas air nan bergelora
kini berlalu tanpa sedar
cinta juga cahaya mata sebenar
telah sempurna.

WANITA ATAU MANGGA

Lelaki itu memilih antara dua,
wanita atau mangga?

Selagi matanya tenung pada mangga
wanita yang menyedia akan jadi pertama
di hatinya
walau bibirnya tidak berkata
kerana air liurnya telah mula gundah
hatinya telah jatuh cinta.


RASA RIANG

Telah berulangkali rumah itu kekikisan minyak
dengan bijak
si peramah mula memotong panjang
direbusnya daun-daun hutan
udang-udang kecil
juga kering disebati sesama garam
didandan oleh cili-cili laman
hari-hari suami 

rasa riang!

Sunday, September 27, 2015

MALAS AKU BANGUN

malam ini aku tidur di samping matahari
tiada pula cahayanya
hangat tembus dalam dada
langsung tak lena aku
dan menulisnya pun kepeluhan

aku ke luar
mencari bulan
cengkerik mengejekku silih ganti
nyamuk mencuit dan menggatal di telingaku
aku mahu awan ke seberang horizon

matahari pula memanggil lagi
melaung kerinduan?
semilir pun meredakan
kenikmatan terasa sehingga siang
dan malas aku bangun walau embun membuai suatu ingatan.

"Kerja, cuti telah di penghujung malam."

Saturday, September 26, 2015

BENANG SUASA

Suasana yang hingar jadi sepi
warna tadi berwarni
kini hitam dan putih
aku masih menanti di gelanggang pelari


rama-rama melintas di atas matahari
gelombang hari bertukar hari
aku menanti dan memerhati batang berganti-ganti...

matahari aku capai sebagai penyinari
letusan tanah nan tinggi membuat hati ingin berlari
terlalu kuat hati!

aku belum berlari,
belum lagi
nanti
aku lari

ayah dalam realiti membakar mimpi
katanya, "Percaya pada diri."
aku masih mencari erti untuk jiwa sebati

pasti kemenangan selalu dicari
oleh negeri
apatah lagi dalam perang pertiwi
namun haruskah lebih banyak korban diri?
Sehingga ada hati yang akan menyesali lantas merindui...

Dan rindu itulah penyebab aku berlari
lari dan lari sepantas hati-hati
rama-rama tadi ada di bawah matahari.

Aku mula alami
wajah-wajah nan berseri menanti aku di garis tengahari
bukan hadiah jadi misteri
tetapi kekayaan hati mahu aku kecapi;
bersama isteri
dan anak-anak syurgawi
juga saudara dan saudari
hingga ke ikatan cucu serta cicit pemeri

tidak perlu kutegakkan benang lalu terlindung oleh matahari
namun perlu kurentangkan keadilan dan keabadian benang suasa nan berkilau bak matahari

boleh aku menang sendiri
namun aku kongsi perlumbaan ini.

BE FEARED

It is better to be feared than loved,
if you cannot be both.

(Niccolò Machiavelli)

TINGKAT SATU

Satu persatu dengan lelah; tabah
si kurung merah naik tangga
tudungnya telah buka

beg sandang sepikul berat rupa
umur telah lama
naik tak sasa ke tingkat satu

di situlah rumah
keluarga ada
dan pernah ada

nanti aku pun begitu juga
cuma,
rumahku aras tanah

tongkat mungkin ada
langkah guruh perkasa
aduh... aduh...

dia dan aku pasti berdua namun tidaklah bersama
dia nun di sana aku nun di situ
enam kaki bawah tanah.

Tuesday, September 22, 2015

SEMBILAN MALAM

tudungnya hitam
baju hitam dan seluar hitam
terkedip-kedip berkaki ayam
kurus bukan lagi perawan
beras lima kilogram disanggul tangan


perlahan dia berlalu sambil berperhatian...
apa kata hatinya?
tidak dia tahu aku terperhatikan

kalau aku,
"malam ini jam sembilan
telah larut perlahan
untunglah aku akan makan
cahaya suram sedikit memaklumkan
mendengarkan kadang-kadang jeritan
jiran-jiran-
kadang-kadang seperti khayalan
aku teran
dan sebentar nanti makan."

 syukur dan terima kasih Tuhan; kumengaminkan...

Monday, September 21, 2015

MENGHARAPKAN

Kusedekahkan
bait-bait puisi untukmu
suratnya mungkin tidak seindah bunga
namun sirat hatinya ada suatu makna; aku pernah mengharapkan.

JEREBU

Dan hari itu kau bakar hutan kerana cemburu
saksikanlah batas-batas telah terbiar
benih api telah melangit jadi awan kelabu
berjerebu...
hingga ke Malaysia 


apakah tiada maaf untukku lagi,
Arjuna?
mentari warnanya semakin suram
bangun tadi kuingatkan malam; rupanya telah lama siang
jiwaku masih meniti pinggir kesepian, kehilangan

maafkan aku sayang...
kusangkakan engkaulah pahlawan Juwita
kebakaran yang kau laku benar-benar memberiku pilu
cemburumu...
terlalu tepu!

terlalu tepu hingga berjerebu
lantas bagaimana lagi hendak kucari cinta abadi
dalam kesamaran dan linangan
dalam sesak senak pernafasan
aku kekal ada; hanya perlu kau kembali ke Indonesia.

INDERA KAYANGAN

Berikan kepadaku sebenih harapan
akan kubenam seiring kasih sayang

Berikan kepadaku rekah cambahan
dan kekuatan terus meninggi ke awan

Berikan kepadaku satu batang,
urat dan tulang sumber ketabahan...

Berikan kepadaku ranting-ranting dan dahan
aku faham erti perbincangan, dan pengorbanan

Berikan kepadaku sehelai daun
akan kujadikan seluruh daun ketenangan, pasti kehidupan

Berikan kepadaku...
buah, itulah syurga sepatutnya

...kenapa perlu semata wang
hingga ada pergaduhan?

Engkau bukan indera kayangan
hatimu belum kesampaian kerana perlu kau lalu kematian.

KESEPADUAN

Sabah ada agenda sendiri...
begitu juga Sarawak dan Tanah Melayu.
Indonesia dan Singapura beralah.

Kita; Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu, tidak sama, langsung tidak sama.
Tetapi ke arah yang sama; Perpaduan!

Salam Hari Malaysia.
Kepelbagaian itulah yang menjadikan kita sempurna.

Lelaki dan wanita amat berbeza
apabila mereka bersama,
sehati dan sejiwa-
lahirlah sebuah cinta.
Di mana lagi kalau bukan di Malaysia.

Thursday, September 10, 2015

INGATLAH, WAHAI ORANG BUJANG!

Ibu bapa yang terbaik
bukan melihat A dalam keputusan anaknya;
melihat kemampuan dan bakat yang terpendam,
itulah kehendak kehidupan.

Jangan terbawa-bawa oleh pertaruhan kapitalis
bawalah pedoman daripada ketentuan Tuhan.

Ingat ini, wahai orang bujang!

DETIK-DETIK

Oh...
tak tahukah dikau ini syurga
kepuasan semesta alam.

Di sana...
akan tiada lagi
sebab untuk aku mahu.


Aku hanya menunggu
detik-detik
pengadilan...

Takut hanya aku
pada,
sang Tuhan.

KEMATANGAN DAN KETERBUKAAN HATIMU

Cikgu,
tidak pernah mahu A daripadamu
cukuplah C
kerana dari jalan hidup cikgu
itu bukan penentu hidupmu...
kematangan dan keterbukaan hatimu
itu yang jadi impian selalu.


Semoga berjaya...
dengan restu.

JADI RESTU

Saya cikgu...
dan saya merayu!
Janganlah kerana kehendak A cikgu jadi tak tentu.

Selama saya hidup...
bukan A jadi penentu hidup modal insan selalu
adalah lebih baik modal insan itu ditentukan kerana bakat;
anugerah daripada yang Maha Esa.

Saya sedih dengan keadaan kini...

Membelakangi kehendak Tuhan yang tertentu.

Semoga dan kita hampir mendekati ketentuan itu, walau sedikit lewat kerana hal-hal tertentu,
semoga impianku jadi restu.

BOLA

Bola itu bulat
susahkah diatur? ...atau memang diatur.

ANAK DIDIK UPSR

Cikgu mengajarmu sebuah proses
bukan keputusan
komitedlah...
hasilnya nanti pasti memuaskan.

Daripada cikgu
kepada anak didik UPSR 2015.

SEPETANG DI LANGIT KONIUNG

Sesekali aku mendongak ke langit jerebu
keluh akan sebutir kenyataan
bukankah aku cikgu
jika cikgu tak perlu fikir buntuh


walau seribu datang menyapu
sapulah aku ke mana pun aku
aku tetap aku
cikgu...
hatiku bukan ilmu bahkan buku

ya...
apabila kudongak mendepani laut Mantanani
dari atas gunung Koniung
bagaikan aku helang di langit tinggi
mencari dan terus mencari
kejayaan anak didikku
tidakku harapkan sebuah kemewahan
cukuplah sebuah senyuman
daripada yang tak tahu jadi mengerti
bukan keputusan yang aku jelajahi
keyakinan!
Itulah yang kunanti.

Teruskan perjuangan...
perjalananmu terlalu jauh lagi.

DANAU MARIMBAU

Jalan yang kulalui
danau rimba di Marimbau
aku menyepi hati
bukan tidak mampu lagi tapi menghayati


misi berubah jadi
mentari bersinar kembali
amat indah dialami
kini tidak mampu sangsi

teruskan...
hingga ke turus menara
puncak tertinggi pasti boleh kita kecapi
selagi pantai di hujung danau berduri kekal menanti.

SEMALAM

Semalam,
aku bermimpi sesuatu yang tenang...
mimpi itu berbual dengan Tuhan.
Dia dalam mimpi itu, mendengar setiap bait kata-kataku.

Lalu aku baru sempat mencari tafsir mimpi itu,
kata mereka impianku akan tercapai.
Tapi, apa pula impianku?
Aku mula keliru. Tetapi syukur kerana mimpi itu...