Thursday, March 31, 2016

LESU BERKATA

Selalu aku berkata
kata demi kata
dan kata
serta kata
hingga kau tak terkata
 

tiada siapa mampu mengata
kerana ia seakan benar belaka
dari benak
seorang jejaka
untuk kau Tika
 

sekali kala
mungkin dalam abad lamanya.

Kerana
suka, duka dan selalu kudoa
inilah cinta
Tika
aku tak sangka...

malam menjangka
siang tak pernah nyata.
Bukankah sedih malah
hingga atma lesu berkata
bukan sahaja sepatah malah seaksara; rahsia.
...berikan aku cinta
yang tak akan merekah
hingga aku berserah
pada sumpah setia
suka dan duka
selama-lamanya...

Friday, March 4, 2016

Cantik,
bunga di baju hitammu
juga daun musim luruh
langkah gadismu
disedang seluar leggingmu
rambut paras bahu
tersipu membaca coret
whatsapp
dan telegram...


Kau cantik hari ini dan aku,
suka.

KELIBAT

Kelibat pucuk ubi
di tepi
pagar berduri

Kelibat ikan keli
mengocak-ngocak sepi
dalam tangki

Kelibat awan pagi
terlindung matahari
terus memerhati

Kelibat si isteri
di sebalik dapur sendiri
menanak nasi beriani

Kelibat anak ini
datang dan pergi
minta disayangi

Kelibat-kelibat ini
menyeri
bersemi setiap hari.

MAS CARRA
Home Sweet Home
26 Februari 2016

NAFAS BUMI

Raut
wajah tua
kedut lingkar tujuh
suara senak sedu
rambut helai luruh
ingatan aku nun jauh


harum merbak lalu
menusuk jiwa aku
rindu...
masakan ibu
dialah ratu
nafas bumi hidup aku
ayam direbus lihing
tika isteri pantang bersalin
bosou ikan pancing
serawi sungai Timpangoh
demam hilang selera
dua itulah aku damba.

MAS CARRA
26 Februari 2016

Monday, February 15, 2016

TERMENUNG SANGSI (EDITED)

Ingatanku mengimbau kenangan lalu
lamunan ini mengimbas memori cinta pertama
di sekolah rendah
waktu itu namamu dan namaku
diukir pada dinding rapuh
bahawa aku mencintaimu
selama waktu


aku turut mengingati kisah duka yang melelahkan
seperti waktu akan kekal
selamanya
sungguh aku tidak mampu lagi
untuk meneruskan hidup remajaku
dan hidup pada pertengahan waktu
aku rindu
terlalu rindu

lalu
aku membentak riuh
pada kebahagiaan rakan taulan
sama-sama mengukir impian
untuk memiliki
kemewahan dunia
sedikit pun tidak pernah mensyukuri
seringkali buta hati

hari ini
sekali lagi kisah suka dan duka menghantuiku
aku tahu
aku tidak lagi punya waktu
untuk bertahan selama rindu nan lalu
patutkah aku berhenti dari terus bermimpi
atau terus melakar impian di hati nurani
bagai camar
yang tidak pasti kembali

begitu aku benci pada ketakutan ini
resah akan kegagalan kesekian kali
lelah untuk mencuba lebih gigih
aku turut tidak mengerti
hanya mampu menanti
kala ini aku duduk termenung sangsi
sehingga saat kutemui jawapan nan abadi

MAS CARRA
Silam
11 Februari 2016

TERMENUNG SANGSI

Tidak semena-mena
ingatanku mengimbau kenangan dahulu kala
lamunan ini mengimbas memori cinta pertama
di sekolah rendah
waktu itu namamu dan namaku
diukir pada dinding rapuh
bahawa aku mencintaimu
selama waktu…


aku turut mengingati kisah duka yang melelahkan
seperti waktu itu akan kekal
selama-lamanya
seperti tidak aku mampu lagi
untuk meneruskan hidup remajaku
dan hidup pada pertengahan waktu
aku rindu…
terlalu rindu

selain itu,
aku turut membentak hatiku untuk riuh
pada kebahagiaan bersama rakan taulan
sama-sama mengukir impian
untuk memiliki
menikmati kemewahan dunia ini
sedikit pun tidak pernah mensyukuri
seringkali belum berpuas hati

hari ini
sekali lagi kisah suka dan duka itu menghantuiku
aku tahu, aku tidak lagi punya waktu
untuk bertahan selama rindu nan lalu
patutkah aku berhenti dari terus bermimpi
atau terus melakar impian di hati nurani
bagai merpati
kembali tidak pasti nanti

begitu aku benci pada ketakutan ini
resah akan gagal kesekian kali
lelah untuk mencuba dan berusaha lebih gigih
sendiri tidak akan aku mengerti
hanya mampu menanti
kerana itulah hari ini aku duduk termenung sangsi
sehingga saat nanti aku menemui jawab nan abadi.

MAS CARRA
Silam
11 Februari 2016

BOSOU DALAM INGATAN

Diramasnya nasi dalam besen biru muda
sebatilah hasil tumbukan buah kering kepayang
lalu ikan Turongou sebesar satu dan dua jari
diselamkan kembali
dalam dimensi nan sungguh berbeza
dijadikan ia selesa


sesekali angin gunung berlalu
pada petang pertama cuti tahun baru Lunar
libasan daun kari nampak di jendela
betapa aku rindu baunya
segar nian
daging diperap kari lazat dibelai daun India

butir garam disemai dengan penuh kepuasan
mengakhiri lamunan ketika desir angin bertiupan
resepi suku Kadazan dimuatkan dalam balang lutsinar
kekallah bersama alam
makanlah bila cukup bulan
bukan hidangan setiap teman; hanya dia nan kebiasaan

sempena hari berkasih
aku mendambakan sekali lagi sentuhannya
cinta tiada kecewa
tiap suapan jeruk ikan
menggamit kembali suasana petang hari itu
bosou dalam ingatan

MAS CARRA
Pogunon
14 Februari 2016

RASA DAN HINAVA

isi tenggiri dihiris rata
kira-kira setebal getah
biji buah diparut manja
cili merah sepedas rasa


halia,
dan bebawang merah ditumbuk mesra
limau kapas mengerah perah
garam secukup rasa...

belum pun sempat
pelayan menghabiskan kata
tetamu mewah
telah mula rasa hinava

dia lantas menyerah
ditinggalkanlah mereka
penuh resah
dalam bahagia berbaur rasa.

HIMPOGOT, TINGGOT DAN TANGKONG SALING BERPELUKAN

lalu aku ke kamar tidur
dan sanggul rambut libur
kugapai tinggi jua
dan pikul sinuangga


kenangan,
meresap pemikiran
angan terbang ke balik zaman
terus berjalan ke arah jiran

ini...
kupinjamkan untukmu
tanda suku terus kukuh
baldu hitam renda kemas berkilauan

syiling-syiling saling berpautan
sejak tahun dua puluhan
kekal aku simpan
himpogot, tinggot dan tangkong saling berpelukan.

KUALA NUNUK RAGANG

telah berabad hidupku
di rantau orang
hati mula rindu
pada sesuatu...


alam mula kulayari
menanti dan memerhati
lalu tiba di kuala
nunuk ragang

di sini ada sungai
kiri dan kanan
bersatu alir ke lautan
liwogu, dalam dan tenang

ibu nan berkemban
memimpin lengan anak kadazan
baldi diletak di batuan
anak malah mandi kain dicucikan

anak itu kemajuan
ibu itu kehidupan
ayah; kuala keturunan
nunuk terus disinar terang.