Saturday, April 25, 2020

SELAMANYA

Aku cinta padamu.

Diri masih terpukau seperti saat pertama melihat potret ini. Rindu masih lagi hangat seperti mana hari itu, ketika ini.

Wajahmu seindah pagi. Tenteram hidupku ditemanimu, dengan hadir di situ. Rongga hatiku kembali berwarna setelah lama kering tak bermakna.

Hendak rasanya hati memetik cinta namun kurelakan ia tumbuh berbuah.

Tuesday, April 21, 2020

TUAH TUA

...makan sudah. Mandipun sudah. Temanku tiada, tak tahu di mana. Punggung dan kaki, kuselarikan dengan bangku di tepi dinding, balai raya–tempat berlindung dari panas dan hujan.

Di malam itu, aku memandang jauh ke bima sakti. Mengharapkan turunlah tanda keizinan dari Yang Maha Kuasa.

Mahu jadi jutawan.

Tercapai, tanda itu melintas depan mataku. Setelah lama masa berlalu, baru kusedar, yang diperoleh ialah sebuah kehidupan.

Apa ertinya, kini kucari. Lagi.


TEMPAT BERTEDUH

...di senja begini, gemersik gitar dari rumah tetangga, mencetus memori saat pernah aku sendiri di daerah sepi.

Hanya aku, diriku. Malam seakan memerah waktu dan terleleh jejus kenangan.

Betapa muhasabah. Kurelakan pergi, ke manapun ia mahu. Sesekali gugus kecewa menerpa, silih berganti dengan suhu yang menghangatkan jiwa.

...benar senja ini mampu memutar waktu.


Saturday, April 18, 2020


TIDAK SAMA SEKALI

Vila itu elok benar dipandang. Berseri bunga kemas digubah. Rona cerah dinding luar menyerlah, di sekitar hirup udara segar dalam kalangan gunung-gemunung.

Ia mampu buat sesiapa saja termenung. Tanpa sedari masa, kemudiannya merenung hidup dahulu, kini dan sejauh waktu. Apa mampu digapai impian itu? Adakah masa lalu pergi bagai direjah buluh perindu?

Benarkah ruang sebesar itu mampu memuaskan semua orang? Benarkah pemandangan itu akur dipandang tenang oleh semua orang?

Intinya patut memuaskan.

Sunday, April 5, 2020

BENAR-BENAR RINDU

Jarak dan masa memisahkan kita
tanpa disangka begini lama
kita cari kekuatan untuk tabah
melalui detik-detik gusar
tika layang-layang ditiup angin kencang

sesekali malam terasa dingin
sesekali malam terasa hangat
sesekali siang hambar tanpa suara
sesekali siang riuh penuh gelak ketawa

mengapa ada saatnya bila kujejak potretmu, 
hatiku luluh
ada pula masanya hatiku membentak, 
ingin memelukmu
jawabnya hanya satu, kau benar-benar kurindu.

Thursday, April 2, 2020

BILA NANTI

Bila nanti kaumimpi, mimpilah tentang tiga ini: iman, harapan dan kasih. Antara tiga ini, moga kasih yang teristimewa. Kerana inti kasih memiliki impian dan kepercayaan.

Bila kaubangun nanti, ...

BUNGA TIDUR

Semalam mimpiku bersama teman lama. Dia sudah meninggalkan dunia sejak 6 tahun yang lalu.

Aku mentafsir mimpi itu. Adakah hanya sekadar bunga tidur.
Namun tidak kata mereka. Ia bererti rindu. Benar, aku rindu. Semoga rohnya tenang dan ditempatkan bersama nyawa-nyawa yang beriman.

Adakah nanti, aku dimimpikan oleh sesiapa yang kutinggalkan di dunia ini?

Wednesday, April 1, 2020

24/7

Di salji ini kupahat kata. Mengandaikan ialah penawar rindu. Bagaimana jika nanti musim dingin berubah jadi musim panas. Sepanas demam rindu yang ditempuhi selama berminggu-minggu. Leburlah pepatah ini.

...kaukurindui setiap waktu. Dua puluh empat jam sehari, tiga ratus enam puluh enam setahun.

GAYA STREET

Keheningan jam tujuh mendetik langkahku perlahan. Kedinginan embun masih terasa namun menusuk sumsum tidak lagi. Kesegaran ini ditambah peri oleh ribuan kuntum bunga di pulau jalan, di Kota Kinabalu.

"Jalan Gaya"

Pernah dahulu jalan ini menghiasi zaman remajaku. Berbaur kenangan kerana ketika itu hiruk-pikuk bandaraya tidak mampu dielak. Bersamanya, dalam dunia seni—melukis cinta.

Kenapa gugur bunga secantik ini? Perlukah musim bunga berakhir, seperti musim remajaku dahulu? Adakah nanti ia berputik kembali, seperti musim-musim di negara luar bangsaku?

Tanda tanya memenuhi kotak fikiranku di pagi suci ini. Seperti kini gugurnya bunga-bunga itu bagai menghiasi tanah perkuburan. Indah tonanya tapi tidak selama indah yang diharapkan.

Masih aku berdiri di sini. Di pulau jalan ini. Tidak aku mengerti masih. Kenapa dicipta bunga kalau tiba waktunya ia layu dan gugur ke lantai bumi? Luruh juga, cinta yang dulunya mekar bak bunga.

Tiba-tiba tanpa tanda, angin panas dan kering bertiup kencang hingga bunga-bunga itu berterbangan ke arah jawapan.

WILL YOU MARRY ME

#BuahFikir:

Salah satu perkara yang paling jahat boleh dilakukan oleh seorang lelaki (atau seorang perempuan) di dalam percintaan ialah untuk membiarkan hubungan itu berada dalam limbo atau tergantung tanpa ada kata putus arah tuju hubungan.

Hal ini timbul dalam pelbagai bentuk:

“Saya belum sedia” dan “Saya masih berdoa tentang hubungan ini”.

Ia juga timbul dalam keengganan salah satu pihak untuk mahu berjumpa dengan keluarga pihak sebelah, atau keengganan untuk maklum keluarga sendiri tentang hubungan itu.

Bila hubungan itu sudah jadi begini, ramai yang bertanya, “Apa yang perlu saya buat?”, “Haruskah saya teruskan?”, “Adakah saya harus beri lebih masa kepadanya?”, “Berapa lama saya harus tunggu sebelum membuat keputusan sendiri?”

Semua soalan ini sudah saya dengar, dan sudah saya nasihati. Secara jujur tidak ada satu kes yang sama. Ada yang memang belum sedia bercinta secara serius (tengok umur pun tahu); ada yang belum sedia mengikat diri (tengok gaya hidup mahu cuti sini-sana); ada yang belum sedia kerana kerja tak stabil dan duit tak cukup; dan ada juga yang memang tidak sedia kerana tak mahu sedia! Mereka hanya mahu nikmati rasa romantik dan status “in a relationship” sebagai suatu yang boleh dibanggakan dan ditayangkan. Dan tambah satu lagi: Ada yang ada penyakit ketidakpastian-keraguan-ketakutan. Takut untuk letak komitmen; takut membuat keputusan yang salah; ragu-ragu bahawa itu bukan orang yang “ditakdirkan” baginya.

Maka apa nasihatnya? Kalau masih budak-budak, “tak payahlah main cinta-cinta dulu”. Tetapi bagi yang sudah berumur – beranikan diri buat keputusan. Tapi jangan gantung diri dan emosi kamu di luar sana – bahkan jangan gantung hati teman kamu untuk dijemur kerana keraguan kamu. Be a man! Be a woman! Langkah dengan iman, dengan berani, dengan nilai bertanggungjawab! Ambil tangannya, lihat dalam matanya, ucapkan kata manis berkrim – “Sudikah kamu kahwini saya?”

Lalu jumpa keluarganya, perkenalkan teman kamu kepada keluarga sendiri. Dan jadilah lelaki/perempuan yang berhati gagah perkasa.

Kredit: Pastor Edmund Kumar