Saturday, February 29, 2020

JANTUNG HATIKU

Namamu 
terpahat di hati selamanya
biarpun badai 
menghempas pelusuk tubuhku
dengan keringat 
tatkala melawan arus ketakutan
tetap aku melangkah
biar jika merangkak dan 
meraba-raba
kepadamu aku mahu.


BUKIT MARIA KUDAT


LUKAS

23:28 Yesus berpaling kepada mereka dan berkata: "Hai puteri-puteri Yerusalem, janganlah kamu menangisi Aku, melainkan tangisilah dirimu sendiri dan anak-anakmu!"


ANAK-ANAK CINTA

Amat indah
cincin di jari manismu
kumerasa tenang
hingga rasanya
masa terhenti
dari membilang waktu
kutenung ia bak menatap wajahmu
sambil mengidami masa depan

tentu indah
jika nanti kita berpegangan tangan
sambil melangkah perlahan di tepi pantai
sesekali memandang antara sesama
memandang
anak-anak cinta
hasil kita

kenapa ia
tak mudah berubah
lalu diperikan simbol setia
komitmen antara pasangan
dan semoga begitu hendaknya
antara kita.

Friday, February 28, 2020

TITIS RINDU

...ketika cuaca membahang
hingga hatiku menitiskan rindu
kau kumahu ada di sampingku
mendengar keluh kesah
tentang mimpi
takut aku ditinggalkan sendiri
seorang tanpa tempat mengadu
di sudut sisi yang gelap
menyepi
mengabadikan diri pada memori.

Thursday, February 27, 2020

HARU BIRU

Kerana semalam bisik pelangi berbaur pilu, terlalu banyak kata sirat hingga aku tidak mampu mentafsir makna. Hanyut aku bersama bayu sayu, kesima dan terbuku kaku karyaku.

Haru biru fikiranku.


BUKAN?

Apa aku susahi
hidupmu
ganggu akan tenteramnya
hingga tak seperti dulu

mampukah lagi kauhayati sinar jingga
pada petang nan lewat
tanpa sakit sanubarimu
kerana aku

benar
pernah aku hias waktumu
tapi sedikit cuma
bukan?

malah tangis lebih banyak tercurah
hingga tersedu?

Tuesday, February 25, 2020

SEPI ITU INDAH

...banyak masanya kita perlu sendiri
menahan segala rona
biar waktu tampil selesaikan
dengan caranya
bak detik kita mendoai seseorang
mahupun sesuatu

ia keinginan terdalam pada diri
pada hati
pada empati
perlu bersendiri

hari ini doaku kepada
kesejahteraan hidup kedua-dua ibu bapaku
ibu dan bapa mertuaku
keluargaku
turut keluarga teman istimewaku

semoga roh terkudus melindungi kami
beri berkat juga restu
pada laluan hidup
yang nyata
sukar pada mata insani
mudah sebenarnya
pada mata rohani
kerana,
jika dan hanya jika;
sederhana.


THE RING

...cincin; ...bermakna komitmen...

HADIRNYA WAKTU

Dulu
kita tak tahu
hadirnya waktu ini

aku memikatmu
kerana aku mahu terikat
selalu denganmu

kita bergurau senda
berbahagi suka dan duka
dalam cerita

tadi aku merindumu
penuh dadaku
dalam dakap pelukmu.

MAHKOTA WANITA

...dengan rambut begitu, aku tambah mahu
benarlah, rambut itu mahkota seorang wanita..

SETITIK ABU

Ingat,
bahwa kamu berasal dari debu dan
kamu akan kembali menjadi debu (Kejadian 3:19).

Doa dan Renungan Hari Rabu Abu, Setitik Abu.
https://m.youtube.com/watch?feature=youtu.be&v=qndslVj9wX0


Sunday, February 23, 2020

TAKKAN PERNAH ADA


KATAKAN SEJUJURNYA


RASA CINTA ITU ADA

Sebelum ia berlalu
bersama detik waktu
kupertahankan rasa ini di sini
dalam susun kata

ketika kita menggapai hati
dalam keredaan
kucup dan belaian seindah panorama
di laut biru

tenang
bersama gelora jiwa
kau dan aku bersatu
diulit laungan rindu meratap syahdu

betapa ingin aku
mendengar nafasmu seperti itu
setiap waktu
kerana rasa cinta itu ada.

MEMUJI BERSAMA

Salib itu menundukkan aku
mengenang kisah perit yang dialami
oleh nabi
demi pengampunan dosa
keselamatan umat manusia

betapa besar kasih-Nya
hingga aku ingin memuji melalui lagu-lagu
rohani
agar tenang jiwaku
dan betapa indah nian jika
sewaktu ini
kau dan aku bersama menyanyi.


MENOLAKKU

Sejak
kukenalimu
hanya
kau di hatiku
biarpun
aku kerap menangis keranamu
kau jua yang kucari
bertubi kaumenolakku
berkali aku mencari
kerana cintaku tulus buatmu.

~ Ave

Saturday, February 22, 2020

123

...kupetik tali gitarku
tatkala menanti hadirnya cintaku
bagai dulu
kala hujan mahupun panas
seorang di bilik sendiri
menjauh dari bingit duniawi
kuserap tubuh dan mindaku dalam lagu-lagu
sendiri

oh... tuhan,
jodohku pasti datang, bukan?

tak mengapalah jika tika ini
hanya pelukku sebuah gitar
juga kopiku semakin tawar hambar
lelapkan mataku
satu,
dua...
tiga.

Selamat malam sayangku.


SEJAMBAK BUNGA

Ke mana engkau ketika ini
di mana
sedang lakukan apa
di sini aku menanti tak jemu
sambil memandang wajahmu
berbaju ungu
dengan corak bunga lestari putih

ke manapun engkau
di manapun kekasihku
semoga damai hendaknya
bersama insan-insan tersayang
atau mungkin dalam tenang mimpi
hati nun jauh terbang di awan
sambil menggenggam jambak bunga nan harum
semerbak cinta kita.


Thursday, February 20, 2020

PERGILAH SEPI

Aku rindu
Walau tika ini kita sepi
Dapat kurasa hatimu pun rindu padaku
Kerana antara kita punya ikatan yang kuat

Namun rasa kesal di hati
Masih meracuni hati ini

Rasa sayangku padamu semakin dalam
Bila sepi menghantui tika ini
Pergilah sepi hadirlah kasih
Agar rindu ini terubat lagi.

~ Ave

Wednesday, February 19, 2020

JAGA HATI

Kasihku...
Bukan aku tak rela
Tapi adakah ucapan kasih itu tulus buatku
Setelah apa kau lakukan di belakangku

Rasa rindu bersamamu
Seiring masa berlalu
Tak pernah hilang biarpun
Di hatimu bukan lagi aku

Jika tiada lagi aku
Percayalah pergiku kerana sayangku padamu
Kau tak pernah salah padaku
Tapi aku yang tidak pandai menjaga hatimu
...dan aku reda tidak ingin menghalangmu pergi untuknya.

~ Ave

Tuesday, February 18, 2020

BERSALAH

...ketika ini,
ucap kasihku tidak rela kauterima
aku tahu puncanya
ia kerana aku yang lemah

nanti bila mula kaurindu
ingin bersamaku
katakan saja
di sini aku menanti

jika tiada lagi aku
ingatlah...
pergiku kerana rasa bersalah
bukan engkau salah.

Monday, February 17, 2020

SEJAUH KENANGAN

Berapa lama harus kusarungi cincin ini
tanda ingatan kesatuan hati

jauh kutenungi dan renungi
pasti itu jawabnya
sejauh kenangan.

Sunday, February 16, 2020


SUNGAI

Hatiku duka kutahu hatimu jua
jika inilah penamatnya
aku reda
kerana pernah kuduga
tika angin kencang menutup tepis nafasku
hingga aku mula lelah
menahan sebaknya dada
menahan tapi kita tidak tertahan
kualirkanlah
menurut kehendakmu.


Saturday, February 15, 2020

SEBUAH TANGIS GEMBIRA














Semalaman aku resah memikirkanmu
Lenaku terganggu
Kupujuk diri dalam keheningan malam
Kupejam mata rapat-rapat
Kucuba layan tidurku tanpa memikirkanmu

Di subuh pagi aku bangkit dengan ucapan salam dalam sisa keresahan

Ku melangkah dengan rasa yang mungkin dapat kau teka
Selamba aku
Senyuman tetap kuberi

Namun kau dengan penuh yakin menyapaku dengan kasih
Senyuman penuh makna dibibir
Hari yang tak diduga sebentuk cincin
Kejutan darimu
Membuatku sebak resahku hilang

Ku tahan air mata ini mengalir
Namun tak dapat ku sembunyi
Betapa aku terharu keikhlasan hatimu
Adakah benar kau mencintaiku tanpa niat jahat seperti katamu?

Sayang andai dapatku putar waktu
Aku ingin menjadi milikmu.

~ Ave

Friday, February 14, 2020

SURATAN

...hati yang ikhlas
pada seseorang akan selalu yakin
dan tidak akan pernah rasa tergugat
tapi bila mana orang yang disayangi rasa terhina
dengan perlahan tanpa kita sedar dia akan menjauh dari kita.

Jika diri bersikap sambil lewa
tentang perasaan seseorang
dia pasti rasa
tidak selamat.

Jangan menilai seseorang itu berdasarkan sikapnya mendekatimu
dia memilihmu kerana dia rasa selamat bersamamu
bila dia berasa tidak selamat lagi
dia pasti pergi drimu.

...jangan fikir dia pergi kerana mencari yang lain
tapi cuba mencari kekuatan untuk bangkit
tanpa bantuan orang lain
kerana baginya sia-sia bergantung harap pada orang yang tidak dipercayai
dan menghargainya lagi.

~ Ave

MANA MUNGKIN

Mana mungkin mampu diundur waktu
setiap langkah hari demi hari semakin meneguhkan kasih antara kita
bersama kita harungi ombak dan gerhana
bukan kerana beralah bukan juga bersalah
sia-sia tiada

sesekali kita diuji melalui jejak cemburu
usah malu kerana rasa itu
di hatiku hanya engkau kekasihku
dan selang masa akanku katakan dan lakukan kepadamu
seiring perasaanku

engkau ratu hatiku
permaisuri yang menghiasi taman bungaku taman asmaraku
memori demi memori tumbuh disubur sinar cinta

usah lagi berkata
datanglah dekat denganku
cumbu aku hingga tiada nafasku
mahu sangat aku dibelai tanpa jemu
walau belaian itu menyesakkan dadaku
walau tidurku tidak lagi lena kerana sering mendengari nafasmu
rindu...

sayang...
terima kasih atas segalanya
setiap rasa yang kita hadapi tentu sama
syukur kerana tetap sudi berkongsi hidup denganku
aku cinta padamu.

DEPAN MATA

Sudah jauh aku melangkah
Mana mungkin dapat ku undur waktu
Terlalu banyak ku lalui suka dan duka bersamamu
Mengalah selalu aku
Memaafkan selalu aku
Tapi akhirnya semuanya sia sia

Terkedu aku bila terlihat kemesraan kamu didepan mata
Merah padam aku menahan malu
Kenapa harus aku mendengar dan melihatnya
Sebenarnya siapa aku dihatimu
Berulangkali aku bertanya tanpa jawab

Aku malu untuk menyapamu lagi
Setelah terlalu banyak memori yang terbina antara kita
Rupa-rupanya aku bukan siapa siapa
Bila kau meluahkan rasa hati padanya  didepanku

Aku menjadi segan sendiri
Melihat kemesraan itu
Kenapa aku terlalu bodoh selama ini
Berulang kali aku melihatnya
Tapi aku masih membutakan mata
Hingga aku terpaksa menahan malu kali ini melihat kemesraan kamu berdua
Tertunduk aku dan membisu seribu bahasa kerana aku tak mampu lagi berkata apa.

Terima kasih atas segala pengakuanmu terhadapnya di depan mata ini.

Aku tidak pernah marah padamu malahan aku bersyukur dan berterima kasih kerana memberi ruang padaku untuk berkongsi suka duka bersamamu.

~ Ave

TAMU

di aku bermimpi
tentang zahir dan batin
katamu
apakah ia berada di tamu

dan aku bangun
tertanya erti cinta
apakah ia semurah itu
datang dan pergi

apa berlaku
antara kau dan aku
keintiman dibina bersama
berkongsi suka dan duka

mungkin ia ada di tamu
kerana setiap kali aku lihat
segar nan hijau sayur-sayuran
dijual oleh gadis tempatan
yang dulunya bukan berasaskan
keuntungan
hanya sekadar mata pencarian
untuk menghadapi hidup seharian.

BUKAN MUDAH

Bukan mudah untuk menangis
Bukan mudah untuk ketawa
Ketika hati sedang terluka
Tangisan umpama ubat penawar
Tawa umpama pelindung diri
Tiada siapa yang tahu isi hati sebenar.

~ Ave

PENUMPANG KASIH

Aku tetap menyayangi
Walau kita tidak seperti dulu lagi
Kenangan antara kita tidak mungkin dilupa
Semuanya kerana aku ikhlas menyayangimu
Tentang dirimu padaku aku tidak pasti
Terima kasih kerana izikanku menumpang kasih
Kau banyak memberi kegembiraan padaku
Semuanya akan berlalu pergi
Itu sangat berharga buatku
Disaat aku bersedih dan lemah
Kau hadir memberi kekuatan buatku
Lapang hati bila bersamamu
Izinkan aku menyimpan kenangan kita
Agar dapat kukenang bila saat aku rindu.

~ Ave

UBUN UBUN

Pergilah dan jangan kembali lagi
Kerana aku takut terluka
Cukuplah kepedihan yang kurasai setiap hari usah ditambah lagi
Akanku pujuk hati ini
Biar tetap tenang mengharungi semuanya
Kutahu tiada yang indah selain dari diri ini sendiri...

Berdiam aku seketika
Sambil menikmati bayu pagi
Nyaman dan tenang terasa
Nikmatnya hingga ke ubun ubun.

~ Ave

SANA

narkah cinta wujud walaupun tidak hidup bersama
seperti yang kulalui ketika ini
hatiku sekali lagi terbuka untuk seseorang
dia hadir tanpa kusedari selama ini
dalam potret lamanya
ketika umurnya masih muda remaja
andainya ketika itu aku di sana
apakah aku berani menyapanya
agar terciptalah sebuah memori indah hingga terbentuklah sebuah keluarga bahagia

mana mungkin hari itu berulang semula
takdir telah tertulis sendiri
dia dan aku tidak hidup bersama
masa ini aku dan dia hidup dalam jarak antara sesama
jauh berbeza
memang benar cinta boleh wujud walaupun tidak tinggal bersama
seperti cintaku kepada Yang Maha Esa.

Suatu hari nanti juga pasti bersama di sana.

SAMPAI BILA

Seketika waktu aku merasa begitu hiba
Sukar melepaskan rasa
Kenapa aku sering salah di matanya
Aku rasa bersalah pada diri
Terlalu emosi
Jika aku menjadi penyebab seperti yang dikatakan adakah aku mampu memaafkan diri

Aku semakin takut pada masa
Semakin risau dengan keadaan
Ingin pergi tapi kemana?
Bertahan sampai bila?

Akanku ingat janji itu
Demi cinta dan sayang
Kukuatkan hati tanpa keluh
Kumohon maaf jika aku salah
Hanya padaNya aku bersandar untuk menguatku menghadapi hari hariku...

~ Ave

SEKETIKA

Seketika waktu aku bermain dengan pantai
Menatap keindahan
Merasai  kelembutan pasir
Mendengar deru ombak

Tenang jiwaku seketika
Membuang waktu yang tidak sia sia
Alam kunikmati dengan damai
Bersama rasa rindu
Tika melihat ombak riang bertepuk manja dengan pantai.

~ Ave

TANPA KUSEDAR

Ketika dirimu bertemankan
Bunyi alam flora dan fauna
Aku lebih dulu rasakannya
Besama deru hujan dan pekikan guruh
Tiada lagi sepi
hujan berlagu tanpa henti
Minda dan hatiku tergangu
Lenaku gundah
Rindu?
Bilakah semuanya berlalu
Tanpa sedar aku mulai diulit mimpi...

~ Ave

APA YANG AKU RINDU

...apa yang aku rindu
apa yang aku rindu sebenarnya
suara atau bisik kata
mata atau jeling sirna
telinga atau sudi terima
bibir atau senyum manisnya
tubuh atau dirinya
aku rindu semua aku mahu semua
tentangnya
baik dan padahnya
bukankah itu sempurna
bersahaja...

ISI HATIKU

...sepinya
sepinya ketika ini
hanya berteman bunyi alam
flora juga fauna
tidak lain tidak bukan
sang cengkerik memekik
pada lelaki sepi ini
tidurlah, tidurlah
daun pula seakan menyanyi
mengulang-ulang lirik syahdu
dalam lagu rindu
hingga terdetik fikirku
mungkinkah ia tahu
begitu isi hatiku...

MERASA HANGAT DAN TERANG

...sungguh ingin aku menyentuhmu
kerana ingin sekali kulihat dirimu
bahagia bersamaku
umpama matahari yang bersinar
kita merasa hangat dan terangnya
begitulah...