Sunday, August 30, 2015

INGINKAH LAGI

Binalah setinggi mana
bila hilang seri; langit lalu kelam tapi tidak sinar bintang

elaklah selama mana
esok ada walau bukan aku yang punya; ditulis sejarah

rombak, rempuh dan rasuklah sebanyak mana harga
ranjau yang paling berduri lusuh disapu bersih

saatnya telah tiba,
salur kebangkitan semakin serlah seantero dunia

inginkah lagi tuan bertahan; inginkah lagi
ibarat siang telah mula malam; tidurlah

hentikan
hari baharu nian datang...

KEPADA SIAPA

Cikgu bertanya kepada...
kepada siapa?
Melihatmu gembira itu beri selesa
ditambah ria walau tidak sempurna
nan indah kita bersama


lihatlah tuan,
lihat wajah mereka
usah kita direndam teluk wacana
tetapi kita merencana
ibu dan bapa pasti megah

suara cikgu menunjuk arah
walau lelah cikgu terus berarah
kerana siapa sama kepada siapa
pernah cikgu tangis berserah
usah air mata jatuh curah, sekadar luah

demi masa
demi nusa dan keluarga...
esok pasti bukan cikgu lagi
daun hijau dulu segar dan indah,
"siapa" -lah akan jadi ganti.

Friday, August 21, 2015

TUNAS CIPTA

Telah disemai benih-benih
dilihat hari-hari
kini,
tunas buah telah kelihatan...
jika nanti menjadi
Tunas Cipta dalam memori hati.
Kunikmati.

MEMADAI

Yang lain telah mula tidur
dan aku masih lagi mengingati dirimu
kuabadikan selalu dalam sajak rindu
sehari satu.


Kau tahu bukan kerana sesuatu tetapi kerana rindu.
Rindu aku pada suaramu.

Aku akan berhenti nanti
jika dirimu ada di sampingku.
Cukuplah walau hanya sekali lagi, memadai.

Wednesday, August 19, 2015

AKAN DATANG

Terbuka mataku dari rehat yang panjang
lalu aku dirikan tubuh
terkesima seketika kira-kira dua saat
kenapa...
kenapa rasa senang sahaja
aku hanya perlu memikirkan; bukan lagi berusaha


oh tenang terlalu tenang suasana
putih bagai di awan
bersih bagai di taman
suci...
yang ada hanya keindahan
dan Tuhan.

belum sempat aku tanyakan
Dia ada dengan senyuman
dia ada dengan senyuman
dia, dia, dia dan dia...
mereka yang aku rindui; yang telah pergi dahulu
ada menyambut kedatanganku

sejenak ada bisik yang menamatkan kerinduan
bersalut kepiluan,
"Mereka juga akan datang."
Lalu aku berteman
tidak lagi risau pada kekurangan
di sini kini aku sungguh-sungguh sempurna.

TANDA SYURGA

Berlariku ke tanjung yang paling hujung
seakan rapuh tapakku berpijak
kuleraikan rambut lesu
nama-Mu kuseru hingga hujung nafasku


tiada sebab mempertahankan diri
agar terus terpisah
jalan buntuhkah yang kutemui
seperti tanjung ini yang mungkin akan jatuh?

menentang angin dari ufuk laut biru
seakan tubuhku mengalah hingga luluh
duduk aku tersipu sambil mengenang takdirku
tiba-tiba tanah runtuh

luka berdarah aku
tembus ranting-ranting di celah tanganku
meraung aku kesakitan
sedu air mata mula menyakitkan

aku mula pitam
beransur-ansur warna kegelapan
diakhiri sinar keputihan
adakah itu tanda syurga?

...dan aku bangun di samping penyelamatku--

MASA ITU PASTI

Hari ini aku menulis warkah berlagu syahdu
ketika engkau tidak dapat kuhangatkan ketika turun salju
juga pada siang tidak ada aku untuk menahan terik sinar matahari
bunga mawar tidak dapat kupetik segar bagi meraih hari lahirmu
senyum pun tidak mampu berdepan
hanya doa dan renungan masa silam
ketika kau dan aku masih lagi bersama
ada yang lebih menyayangimu
sayangku...

walau telah dua tahun kau kembali ke tanah suci
selalu akan aku cinta padamu di situ
dan pasti sahaja nanti aku akan hadir menemani. Masa itu pasti.

Monday, August 17, 2015

KURANG PERCAYA

Mawar putih
bergincu merah jambu
melinangkan air mata penahan nyata
telah suka namun takut terluka
durinya disembunyi oleh kurang percaya.

Bagaimana akan bahagia; terpulang hanya pada masa dan kekuatan rasa?

TERLALU KAYA

Aku,
tidak cukup kaya untuk mengembalikan masa silam.
Terlalu kaya pula menghabiskan sisa masa yang mungkin, esok tiada lagi.

DAN BULAN DATANG LAGI

desir suaramu umpama dahan bergeser dalam rumpun bambu
sesekali bayu termangu harmoni dengan alun daun semalu
mataku asyik memandang...
lupa malam telah jauh di bendang


kau lilin hidupku juga terang bagiku
kau teratai angkasa tempat kumengadu
mengisi ruang masa
meraih panorama

dalam hati berbicara
datanglah bulan dan bulan datang lagi
datanglah bulan dan bulan datang lagi...
aku kegelapan tepi malam
laluan tidak gemerlapan dan tidak terbungkam buku pedoman
dan datanglah
bulan di sisi bintang.

TUTUP

Kalau saya yang cakap,
orang tak dengar;
mahu doktor falsafah yang cakap,
barulah kau gentar dan ambil iktibar.

Kalau doktor falsafah sudah cakap,
tidak juga kau dengar;
tutuplah itu universiti- Tutup!
biar hingar-bingar orang di pasar.

Wednesday, August 12, 2015

ALI BABA

…tiap kesilapan itu merupakan satu titik perubahan. Saya memberitahu diri sendiri dan golongan muda.

SEBELUM UMUR 20 tahun:
Jadilah seorang pelajar yang baik. Cari pengalaman. Nikmati kesilapan dan kegagalan yang berlaku. Jatuh dan bangun semula. Hayati…

SEBELUM UMUR 30 tahun:
Ikut seseorang untuk dijadikan model dan teladan. Kerja di suatu tempat yang sederhana kerana di sana anda akan belajar banyak perkara dalam tempoh yang sama. Ia berlainan jika anda bekerja di tempat yang besar. Maka, bukan tempat anda bekerja yang utama pada ketika ini, tetapi siapa majikan anda. Seorang majikan yang baik akan memberi anda ilmu yang berbeza.

SEBELUM UMUR 40 tahun:
Anda perlu fikir semasak-masaknya, adakah anda perlu bekerja sendiri atau sebaliknya.

SEBELUM UMUR 50 tahun:
Ketika ini anda perlu buat sesuatu yang paling anda tahu. Usah membuang masa melakukan perkara-perkara baharu kerana pada ketika ini, risiko kematian amat tinggi.

SEBELUM UMUR 60 tahun:
Bekerjalah kerana golongan yang lebih muda. Mereka akan dan dapat melakukan yang lebih baik berbanding anda. Melaburlah kepada mereka dan pastikan mereka akan lebih baik.

SELEPAS UMUR 60 tahun:
Luangkan masa untuk diri anda… sudah terlalu lewat untuk berubah.

PENYESALAN SAYA:

1. Menghangatkan media
2. Tampil ke muka umum (Kedua-dua perkara ini meragut privasi saya.)
3. Menghabiskan terlalu banyak masa untuk syarikat sehingga masa bersama keluarga sangat kurang.

Jika, sekali lagi saya ditakdirkan hidup dalam kehidupan akan datang, saya tidak akan melakukan perkara ini.

Isteri saya menyatakan bahawa hidup saya bukan miliknya, tetapi milik AliBaba.

Apa boleh buat, ia telah terjadi… ramai orang melihat persepsi kehidupan ini secara berbeza antara satu dengan yang lain. Ada yang memikirkan bahawa bila kita kaya; kita berjaya, bila kita tidak kaya; kita tidak berguna. Mungkin tidak. Setiap orang memilih cara kehidupan sendiri.

Saya amat menyesal dan menangis. Jika syarikat dalam kawalan anda memiliki 500 juta pekerja, dan 1% daripadanya orang yang tidak baik, anda memiliki 5 juta pekerja yang tidak baik.

Namun, apa boleh buat… ia telah pun jadi. Saya melupakan tentang penyesalan dan kini lebih menumpukan 10 atau 15 tahun akan datang untuk memperbaikinya.

-JACK MA-

*********************

KONSEP REZEKI

Konsep Rezeki Pertama
Kita usaha dan kita dapat. Contohnya, kita bekerja dan kita dibayar gaji. Itulah bentuk rezeki pertama. Kita selalu nampak rezeki yang ni.

Konsep Rezeki Kedua
Rezeki yang kita usaha, tapi bukan untuk kita.

Contohnya, kita dah dapat gaji tadi, tiba-tiba kereta rosak atau mungkin handphone hilang. Atau, kita beri pinjamkan duit kepada orang lain.

Contoh yang lain, adalah bersedekah, memberikan bahagian rezeki kita untuk orang lain.
Banyak orang yang tak nampak rezeki bahagian ni. Sedangkan ini adalah rezeki juga. Banyak daripada kita bila tiba rezeki ni, kita complain, kita banyak merungut dan menyalahkan takdir, menyalahkan segala-galanya. Kan?

Sebenarnya, Tujuan Allah aturkan rezeki begini untuk kita adalah kerana nak menyucikan harta kita. Tujuannya nak mengampunkan dosa kita. Tujuannya nak beri kita nikmat yang lebih banyak Tapi kita mesti diuji terlebih dahulu.

Konsep Rezeki Ketiga
Rezeki yang kita tak usaha pun, tapi kita dapat. Masya Allah, cuba bayangkan, kita tak usaha pun, tapi kita dapat, punyalah sayang betul Allah kat kita ni. Banyak rezeki bahagian ni yang kita selalu lupa dan selalu tak nampak.

Apa contoh bentuk rezeki ketiga ni? Antaranya, tiba-tiba ada orang belanja makan steamboat, kita usaha tak? Tapi Allah datangkan steamboat melalui orang tadi tu untuk kita.

Contoh lain, kemudahan dalam menuntut ilmu, seronok beribadah. Kemudahan dalam berurusan, tiba-tiba sales meningkat, dilapangkan masa, tak tahu tiba-tiba duit datang daripada mana. Tup-tup ada orang sponsor kita pergi Umrah, Haji dan sebagainya. Kita tak usaha pun, tapi Allah bagi hadiah ni untuk kita.

Seronok kan?

Punyalah banyak nikmat Allah beri ni, tapi kita tak bersyukur. Kalau check balik Surah Ar Rahman, Allah ada ingatkan,

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?”

Allah terangkan dalam surah tu, banyaknya rezeki yang diturunkan, tapi kita yang tak bersyukur. Selang satu ayat Allah ingatkan kita dengan ayat di atas. Malu rasanya dengan Allah. Sebab kita hanya banyak complain dari beryukur. kan?

Untuk datangnya rezeki yang ketiga ni, kita mesti melalui rezeki yang kedua DULU. Sebab tulah, tiba-tiba peti ais rosak, amaun tu cukup-cukup sahaja nak bayar. Kereta pulak rosak, macam tau-tau sahaja cukup-cukup baki bulan tu.

Sebab apa? Sebab salah kita yang tak keluarkan terlebih dahulu. Mungkin kita kurang memberi sedekah! Sebab tu lah Allah tarik sikit nilai dari rezeki tu, nak bagi kita share jugak dengan orang lain. Supaya rezeki kita tu dapat disucikan, supaya dosa kita dapat diringankan.

Masya Allah punya sayang Allah kat kita, dia ampunkan dosa kita, ringankan tanggungan azab kita ni, tapi bila tiba sahaja benda rosak, barang hilang, orang pinjam duit tak bayar, kita nak marah-marah. Kita geram kat Allah dan complain. Betul tak?

Konsep Rezeki Keempat
Mudah sahaja nak faham, kita tak usaha, maka tak dapatlah. Orang yang berusaha, maka dia dapat. Man jadda, wa jadda, kata pepatah arab ni.

Nampak dan faham tak konsep rezeki ni?

Rezeki bukan duit semata. Kita selalu nampak rezeki ini adalah harta. Sedangkan rezeki, nikmat Allah ni luas sangat.

Ilmu adalah rezeki, kawan-kawan yang baik adalah rezeki, kesihatan, kemudahan, kelapangan masa, kasih sayang, kefahaman, jodoh, zuriat, keluarga dan macam-macam lagi! Subhanallah, kalau senaraikan, cuba bayangkan, berapa banyak lagi nikmat yang kita tak bersyukur ni?

Insya Allah, bila kita faham konsep rezeki ni, kita akan lebih bersyukur, kita akan lebih mengenali indahnya, baiknya Allah ni. Alhamdulillah.

-WhatsApp-

https://www.facebook.com/dipohon.maskara/posts/1880111245547649 

NASI DAN KICAP

Kenapa itu saja bos? Hairan si kawan.

Jauh kurenung nasi yang disiram kicap manis. Nasi kosong dan kicap manis, aku minta dari pelayan di sebuah restoran tanpa nama. Mungkin nama itu telah diterbangkan angin baru-baru ini dan pecah berderai. Itu cuma anggapanku. Belum lagi aku rajin bertanya ke mana hilang papan tanda nama kedai mereka. Nantilah... aku sedang bersedih.

Lalu mahu mengingat kembali kisah lalu sebagai penaik semangatku yang semakin luntur.
Waktu itu, seleraku melihat kicap dan nasi terlalu tinggi. Riak muka itu masih dapat aku bayangkan. Percikan air liur masih segar seperti titis hujan yang telah turun tiga hari berturut-turut. Renyai-renyai, tidaklah terlalu lebat. Cukup melanjutkan hawa dingin di musim yang sangat panas ini...

Tapi berbeza sedikit pada hari ini. Aku hanya mampu melihat dan merenung nasi dan kicap ini. Tidak dapat kumenawan kembali seperti dahulu. Bukan juga niatku hadir di meja ini untuk makan, sekadar minum dan mahu bertemankan sesuatu. Aku pilih nasi dan kicap, berpinggankan lusuh.

Kini aku sudah kaya. Terlalu kaya. Tapi rasa kebahagiaan tidak pula turut serta dalam kekayaan ini. Aku mahu tahu, kenapa? 15 tahun yang lalu, tempatku mengadu.

Gusar sungguh hatiku. Geliga di kepala seperti berputar-putar tanpa haluan. Umpama bebola ahli sihir. Mungkin aku terkena sihir. Jenis apa sihir ini? Mindaku sedikit kencang ingin tahu. Biarlah tu. Pujuk aku.
Maka dengan pantas aku meneguk air sejuk yang telah 10 minit terdampar di tepian. Silap pegang, jatuh ke pihak lawan. Sambil menurunkan air itu ke dalam perut, aku menggigil keseraman. Macam hantu sudah lari pulang. Pada kala itu, aku mengimbas kembali waktu kicap dan nasi. Bukan aku seorang yang ada di situ. Aku melihat kelibat ibuku yang sedang geram. "Pulang... makan..." jeritnya kepada adik-adik perempuanku. Mereka masih bermain bunga-bunga di depan rumah. Tahukah mereka, yang ada hanya nasi dan kicap?

Ibu kini ada di perkampungan. Adik-adik telah lama bekerja. Aku pula sudah kaya. Terlalu kaya. Ayah pasti pada ketika ini sedang membaca surat khabar lama. Membidas kelicikan para pencuri, perompak, kemalangan, rasuah dan penemuan bangkai MH370. Aku, seorang di kedai ini, bertemankan sesuatu. Tiada orang makan ketika ini, kerana hujan masih berterusan. Aku harapkan kadang-kadang.

Dalam memori itu, aku mula makan. Nikmat sungguh air tangan ibu menanak nasi dari kayu-kayu, juga manis sungguh kicap itu seperti perawan dan aku pada malam pertama. Oh... nyaman, kata orang brunei.
Aku tidak akan, tidak mahu pulang selagi aku belum tenang. Nekad aku pada ketika ini.

Dan benak fikiran pun terus melayang. Ini bukan cerpen. Aku hanya duduk bertemankan nasi dan kicap, bermonolog antara diri sendiri. Juga kenangan 15 tahun yang lalu. Waktu aku duduk makan nasi berhiaskan garis-garis hitam, kicap cap ayam.

Aku reda sekejap. Jariku pantas merampas kotak rokok dari poket seluar. Kucubit dengan kuku, sebatang anak rokok dan terus dengan gaya koboi menyalakan mancis aladdin. Kekal dari dahulu, warna hijau.
Aku sedut nyawa taruhan, aspek yang sangat mendebarkan para doktor dan orang tersayang.

Menenangkan diri dengan kekeliruan. Nikotin telah meresap dalam, sedalam laut biru. Dihembus asap bukan hitam, setinggi langit biru. Aku belum lagi kecundang...

Ini masih tentang nasi dan kicap. Aku sentuh tanpa sedar pinggan yang jadi peneman. Dia hanya diam. Aku senang. Segala keluhan dia dengar tanpa prejudis, bukan macam seseorang; peguam.

Sambil kuintai bunyi resam dari hujan. Hanya 2 kaki membezakan kedudukan antara aku dan hujan. Kadang kala terhiris juga hatiku oleh titis hujan, membasahkan kulit-kulitku yang kebingungan. Kata peramal, ini bukan musim hujan.

Masih lagi aku belum meluahkan. Tidak mahu mengaku lagi kebenaran.

Lalu aku kembali ke masa silam, 15 tahun yang lalu.
Setelah sudah banyak suapan, bunyi larian bagai rumah mahu berguguran, adik-adikku pulang. Mereka segera duduk bersebelahan. Memandang mataku terlalu tajam. "Inilah makanan?" Mungkin dialog itu dalam hati mereka. "Mana ayam?" Aku buat tambahan.

"Mak, ini saja?" Kata adik seorang. Aku sudah jangkakan. Seorang ini pasti tidak senang.
Namun ibu hanya diam. Aku tahu dia menahan perasaan...

"Makan saja." Sahutnya tenang. Adik yang seorang lagi telah pun mula makan. Kesedapan juga dia, aku yang rawan. Namun, inilah cabaran. Dugaan Tuhan.

Di sana, aku sudah siap makan. Di sini, aku tidak makan. Aku senyum sipu mengenang kenangan. Cabaran dan dugaan ketika itu telah kami lalui dengan aman. Tiada perpecahan.

Dengan manis aku mempersendakan, "Itu ayam sudah jadi hitam." "Nasi ayam baini, kicap cap ayam." Terbahak-bahak adik-adikku kebingungan. Berketawaan kami umpama sedang berkelahan di "Giligan Island".

Oh... bukankah itu kebahagiaan. Kelibat ibu di dapur kekadang kelihatan. Pasti dia riang, kami riang. Ayah hanya berseorangan. Duduk melihat kandang ayam yang baru dibina, menggantikan yang telah suram.
Hampir aku ketawa seorang di kedai makan. Tapi tertahan oleh kemaluan. Indah... sungguh indah kenangan.

Aku semakin tenang.

Rokok nan sebatang telah pun jadi debu. Tiada pula tanda-tanda hujan akan berhenti. Hawa semakin meremangkan bulu-bulu jantan. "Kopi kau satu bos!" Lafazku. Suara bergema seperti dalam dewan serbaguna, terasa seperti satu Sandakan kedengaran. Selain suara-suara garau kodok-kodok yang bersembunyi di dalam longkang-longkang.

Nasi dan kicap masih lagi megah di meja bulat. Seakan telah beku dimain masa. Ini antara aku dan dia. "Aku bayar bah..." bisik sanubari. Takut kempunan seperti si Tanggang dan ikan Tembakul, "Pun... pun..." kumitku.

MATI DUA KALI

Kita mati
sebanyak dua kali.
Pertama; ketika jasad dan roh berpisah,
Kedua; ketika orang terakhir yang mengenali kita meninggal dunia.

KAYA RAYA

Nasihat anak kepada ayah:

Ayah...
Kita sudah cukup kaya
cukuplah,
jika pun hingga kaya raya
raya itu ertinya kegunaan semua.

LETAK JAWATAN

Nasihat anak kepada ayah:

Ayah...
Letak jawatan,
kembali kepada keluarga
di pangkal jalan
sedarlah dari tangkal kuasa.

DRAMA

Nasihat anak kepada ayah:

Ayah...
Drama sudah dijangka
episod biarlah bahagia
waktunya
bermaaf-maafan.

KEPUASAN YANG UTAMA

Orang tahu-
apa akan berlaku; ANDA KALAH,
Orang TAK sangka ini berlaku; ANDA JUARA...

Hidup SEBENARNYA memberikan sesuatu yang ISTIMEWA.
BUKAN kerana WANG SEMATA-MATA!
KEPUASAN yang UTAMA.


Sekecil mana pun ia, ANDA PASTI TAHU.
DAN, ANDA PERLU TAHU, ORANG TIDAK PERNAH PUAS!

DATANGLAH

Jika awan tebal itu hendak datang,
datanglah...
kerna aku sedang menanti hujan.
Ribut dan taufan pernah kuduga; ini 'kan pula hujan biasa.

SHIT

Apa yang berlaku kini
umpama SHIT yang kedua...
aku masih menanti penulisnya.
Aku beli, baca dan buang kerana ia pasti terlarang.

HINA

Melandaskan agama dan bangsa
rupanya bersenggama
tanpa rela.
Hina.

DENGAR

Kalau saya yang cakap,
orang tak dengar;
mau doktor falsafah yang cakap,
barulah kau gentar dan ambil iktibar.

Kalau doktor falsafah sudah cakap,
tidak juga kau dengar;
tutuplah itu universiti- Tutup!
biar hingar-bingar orang di pasar.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1008892772483609&set=a.649355245104032.1073741825.100000886886607&type=1&theater 

POHON MASKARA

Terbang kau terbang
hingga ke pohon maskara
jauh menjauh lagi
agar tidak bertemu mimpi...



PUNCH

Semoga peristiwa politik yang berlaku pada ketika ini
akan berakhir dengan penangkapan dalang-dalang puaka.
Kebenaran yang akhirnya terbentang menentang kepura-puraan.

Bukan seperti, "The truth is out there" dalam cerita The X-Files.

ROHANI

...baring aku menanti
petik petik gitari
tapi sedang terhenti
mendengari
suara suara katak lestari
hujan turun sehari
tanpa henti
walau tidak lebat sekali...

Moga malam mimpi
esok hati murni
rohani.

TERIMA KASIH

Masa...
Terima kasih kerana selalu bersama.

MATAMU MASIH SEPERTI DAHULU

Tanpa berkata apa
seminit, setelah banyak tahun berlalu...
matamu masih seperti dahulu.

TIADA YANG LEBIH

Maka
berkatalah si Om,
"Tiada yang lebih kaya daripada Bapaku di sorga."

Monday, August 3, 2015

KATA IKAN

Kemudian dia pun meniti arus kehidupan
difikirkan dalam benaknya
haruskah aku menentang atau menurut sahaja
menentang; tersasarkah nanti dari garis perenang
menurut; telah lelah bahunya menanggung kuak lentang


hanya duduk diam,
duduk di pinggir panggung wayang
bila lapar; makan...
bila rasa mengantuk; tidur didodoi keluhan
makan tak kenyang, tidur tak lena disulitkan dengkuran

maka bermimpilah teman
dia ditendang cemuhan direndam semalaman
terlalu ngeri membingkis fikirannya
laluan nafasnya tertekan oleh air yang dalam
meronta inginkan udara; tetapi udara telah dicemari

sedang berlaku itu berbunyi pula kokokan ayam, jantan...
sedikit bunyi itu jelas umpama suara hati yang bertandang di kala keruh
bangun dan buktikan takrifan keyakinan
bangkitlah dari kubur kecelaruan
"Itu barang harus tenang." Kata ikan.

MASA

Masa...
Terima kasih kerana selalu bersama.

JIKA AKU; KAU CINTA

Buatlah apa saja yang engkau suka
hanya satu kupinta
bila harapan tak berc'haya lagi
di tengah kekarutan metro kota
luangkanlah masa...
jika aku; kau cinta.

KESIMA

Tanpa berkata apa
seminit, setelah banyak tahun berlalu...
matamu masih seperti dahulu.

https://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=CAID_2iKO5Y