Wednesday, August 12, 2015

NASI DAN KICAP

Kenapa itu saja bos? Hairan si kawan.

Jauh kurenung nasi yang disiram kicap manis. Nasi kosong dan kicap manis, aku minta dari pelayan di sebuah restoran tanpa nama. Mungkin nama itu telah diterbangkan angin baru-baru ini dan pecah berderai. Itu cuma anggapanku. Belum lagi aku rajin bertanya ke mana hilang papan tanda nama kedai mereka. Nantilah... aku sedang bersedih.

Lalu mahu mengingat kembali kisah lalu sebagai penaik semangatku yang semakin luntur.
Waktu itu, seleraku melihat kicap dan nasi terlalu tinggi. Riak muka itu masih dapat aku bayangkan. Percikan air liur masih segar seperti titis hujan yang telah turun tiga hari berturut-turut. Renyai-renyai, tidaklah terlalu lebat. Cukup melanjutkan hawa dingin di musim yang sangat panas ini...

Tapi berbeza sedikit pada hari ini. Aku hanya mampu melihat dan merenung nasi dan kicap ini. Tidak dapat kumenawan kembali seperti dahulu. Bukan juga niatku hadir di meja ini untuk makan, sekadar minum dan mahu bertemankan sesuatu. Aku pilih nasi dan kicap, berpinggankan lusuh.

Kini aku sudah kaya. Terlalu kaya. Tapi rasa kebahagiaan tidak pula turut serta dalam kekayaan ini. Aku mahu tahu, kenapa? 15 tahun yang lalu, tempatku mengadu.

Gusar sungguh hatiku. Geliga di kepala seperti berputar-putar tanpa haluan. Umpama bebola ahli sihir. Mungkin aku terkena sihir. Jenis apa sihir ini? Mindaku sedikit kencang ingin tahu. Biarlah tu. Pujuk aku.
Maka dengan pantas aku meneguk air sejuk yang telah 10 minit terdampar di tepian. Silap pegang, jatuh ke pihak lawan. Sambil menurunkan air itu ke dalam perut, aku menggigil keseraman. Macam hantu sudah lari pulang. Pada kala itu, aku mengimbas kembali waktu kicap dan nasi. Bukan aku seorang yang ada di situ. Aku melihat kelibat ibuku yang sedang geram. "Pulang... makan..." jeritnya kepada adik-adik perempuanku. Mereka masih bermain bunga-bunga di depan rumah. Tahukah mereka, yang ada hanya nasi dan kicap?

Ibu kini ada di perkampungan. Adik-adik telah lama bekerja. Aku pula sudah kaya. Terlalu kaya. Ayah pasti pada ketika ini sedang membaca surat khabar lama. Membidas kelicikan para pencuri, perompak, kemalangan, rasuah dan penemuan bangkai MH370. Aku, seorang di kedai ini, bertemankan sesuatu. Tiada orang makan ketika ini, kerana hujan masih berterusan. Aku harapkan kadang-kadang.

Dalam memori itu, aku mula makan. Nikmat sungguh air tangan ibu menanak nasi dari kayu-kayu, juga manis sungguh kicap itu seperti perawan dan aku pada malam pertama. Oh... nyaman, kata orang brunei.
Aku tidak akan, tidak mahu pulang selagi aku belum tenang. Nekad aku pada ketika ini.

Dan benak fikiran pun terus melayang. Ini bukan cerpen. Aku hanya duduk bertemankan nasi dan kicap, bermonolog antara diri sendiri. Juga kenangan 15 tahun yang lalu. Waktu aku duduk makan nasi berhiaskan garis-garis hitam, kicap cap ayam.

Aku reda sekejap. Jariku pantas merampas kotak rokok dari poket seluar. Kucubit dengan kuku, sebatang anak rokok dan terus dengan gaya koboi menyalakan mancis aladdin. Kekal dari dahulu, warna hijau.
Aku sedut nyawa taruhan, aspek yang sangat mendebarkan para doktor dan orang tersayang.

Menenangkan diri dengan kekeliruan. Nikotin telah meresap dalam, sedalam laut biru. Dihembus asap bukan hitam, setinggi langit biru. Aku belum lagi kecundang...

Ini masih tentang nasi dan kicap. Aku sentuh tanpa sedar pinggan yang jadi peneman. Dia hanya diam. Aku senang. Segala keluhan dia dengar tanpa prejudis, bukan macam seseorang; peguam.

Sambil kuintai bunyi resam dari hujan. Hanya 2 kaki membezakan kedudukan antara aku dan hujan. Kadang kala terhiris juga hatiku oleh titis hujan, membasahkan kulit-kulitku yang kebingungan. Kata peramal, ini bukan musim hujan.

Masih lagi aku belum meluahkan. Tidak mahu mengaku lagi kebenaran.

Lalu aku kembali ke masa silam, 15 tahun yang lalu.
Setelah sudah banyak suapan, bunyi larian bagai rumah mahu berguguran, adik-adikku pulang. Mereka segera duduk bersebelahan. Memandang mataku terlalu tajam. "Inilah makanan?" Mungkin dialog itu dalam hati mereka. "Mana ayam?" Aku buat tambahan.

"Mak, ini saja?" Kata adik seorang. Aku sudah jangkakan. Seorang ini pasti tidak senang.
Namun ibu hanya diam. Aku tahu dia menahan perasaan...

"Makan saja." Sahutnya tenang. Adik yang seorang lagi telah pun mula makan. Kesedapan juga dia, aku yang rawan. Namun, inilah cabaran. Dugaan Tuhan.

Di sana, aku sudah siap makan. Di sini, aku tidak makan. Aku senyum sipu mengenang kenangan. Cabaran dan dugaan ketika itu telah kami lalui dengan aman. Tiada perpecahan.

Dengan manis aku mempersendakan, "Itu ayam sudah jadi hitam." "Nasi ayam baini, kicap cap ayam." Terbahak-bahak adik-adikku kebingungan. Berketawaan kami umpama sedang berkelahan di "Giligan Island".

Oh... bukankah itu kebahagiaan. Kelibat ibu di dapur kekadang kelihatan. Pasti dia riang, kami riang. Ayah hanya berseorangan. Duduk melihat kandang ayam yang baru dibina, menggantikan yang telah suram.
Hampir aku ketawa seorang di kedai makan. Tapi tertahan oleh kemaluan. Indah... sungguh indah kenangan.

Aku semakin tenang.

Rokok nan sebatang telah pun jadi debu. Tiada pula tanda-tanda hujan akan berhenti. Hawa semakin meremangkan bulu-bulu jantan. "Kopi kau satu bos!" Lafazku. Suara bergema seperti dalam dewan serbaguna, terasa seperti satu Sandakan kedengaran. Selain suara-suara garau kodok-kodok yang bersembunyi di dalam longkang-longkang.

Nasi dan kicap masih lagi megah di meja bulat. Seakan telah beku dimain masa. Ini antara aku dan dia. "Aku bayar bah..." bisik sanubari. Takut kempunan seperti si Tanggang dan ikan Tembakul, "Pun... pun..." kumitku.

No comments:

Post a Comment