Thursday, May 28, 2020

ETNIK

Pertembungan dua awan
akhirnya menumpahkan air kekesalan
memadam api keegoan
beri kelegaan kepada kemarau panjang
dalam hati umat bumi di bawah bayu
dahulunya seakan tidak nampak hujungnya.

Monday, May 25, 2020

KARMA

Insan itu bertamu
tiap hari tiga
duduknya persis boneka
lusuh rona kulit di mana dulunya
sekuning langsat

tiba satu lelaki megah
ulasnya hendak makan ulam diraja
segenggam seringgit
melampau katanya kesat
tutanpun dijual

oleh kerana bini mengidam
dihulur kertas biru berselit wajah masam
kebulur pulang
ke pangkuan bakal menantu dikantung
cucunya si insan tamu tadi.

Saturday, May 16, 2020

SONTEL

Bibirnya
bengkak di kiri
tebingnya setinggi guli
apa dia khayal meratah
berbau kebun kelapa

bila marah aku dilumat-lumat
diketap-ketap
temannya dari bangku menengah
suaminya entah kenapa cinta
pasti ditipu mentah-mentah

sekisah cikgu disiplin sekolah
senasib mereka
adakah punca mongel bibirnya dara
walau pelatah dan bercempera
gumpalan sontel di kocek meja.

KAIS PAGI

Semboyan gong batu
mengusik halwa telinga
siud digenggam
ternganga di muka sungai
apa itu tanda bencana
kencana hilang
limpadang datang

belum cukup bebani pinggul
dua turongou dalam barait
masyghul di hati
lebih dituruti
lalu pulang mengerti
ruang rezeki
mula ditenggelami.