Wednesday, October 23, 2019

BETAPA RINDU

...betapa rindu
menggubah panas lebih panas
mengukir sejuk lebih sejuk

betapa rindu
terasa jauh semakin jauh
menerkam dekat semakin dekat

betapa rindu
menyesakkan dada nan sebak
akhirnya mengikis air mata dari sanubari...

SUSUN SEMULA

...jika disusun semula kata-kata harian
tingginya;
bukan alang-alang
dalamnya;
jauh untuk diselam
luasnya;
memenuhi rimba
isinya hanya satu makna
kerana sayang...

Tuesday, October 15, 2019

TANDA INGATAN

Detik terbenamnya matahari
salam kuhulur sebagai tanda ingatan
ulang tahun kelahiranmu
agar ucapan ini muncul pertama
mengukir senyuman di bibirmu

kudoakan
moga hidupmu dilimpahi berkat
sentiasa tabah dan kukuh mengharungi
dugaan hidup
kasih setia-Nya menyertaimu
sepanjang masa tak kira waktu

tempuhi hidupmu dengan sejahtera
usah dikenang kisah yang lalu
nikmati manisnya kehidupan
bersama insan-insan tersayang
di situ terpancar nikmat berterusan
jagalah dengan penuh keikhlasan
usah dibubuh keraguan.

~ Ave August

BUNGA ANGSANA

...tubuhmu aku tenung separuh
matamu bulat menerjah anganku
seakan kautahu
aku bakal terpaku bak melihat ratu
aduh
wajah dan tubuh
semanis itu
pasti jadi rebutan para karyawan
melakar kisah antara putera dan puteri desa

senyummu kausulam sinis
seakan sengaja memarakkan api gelora
pada cinta yang kini berkembang
bak bunga angsana di taman asmara
argh kau kuigau setiap masa.

Sunday, October 13, 2019

KENANGAN 3

Sayang...
pertemuan pertama tanpa dirancang
buat kejutan ketika itu
aku jatuh cinta...
hati berbunga ria
sentuhan pertama menggubah
rentak jantung
jadi lebih indah.

~ Ave August

Wednesday, October 9, 2019

RINDU DAN I LOVE YOU

...tiba-tiba
aku terdengar suaramu
dan aroma tubuhmu menyegarkanku
menyedarkan aku bahawa
kita pernah berpelukan
kala menyatakan
rindu dan I love you.

MAHU AKU

...tertunduk aku dan merenung lantai putih
dibasahi titis-titis air mata
terlutut aku tanpa kuasa
semakin sayang semakin kelam
aduhai...
aku mendengar detik waktu
semakin lama semakin terang
tik tak tik tak tik tak tik tak
mahu aku dibuai mimpi
tapi ini realiti.

JARUM PENGIKAT

...dengan dia
tak mampu aku melawan
aku sedia kalah
dalam menegakkan benang basah
umpama mencari jarum dalam jerami
jarum lambang pengikat hubungan kita.

Tuesday, October 8, 2019

SENYUM SINIS

Aku tersenyum
kerana resahku terjawab
bukan sekali tapi berkali kali
usah sembunyi lagi
tak perlu takut kerana itu buatku resah

indah bukan
hatimu berbunga suka sekali
aku pun suka
terlepas dari beban keresahan
tak perlu ragui lagi
bukan kelmarin bukan hari ini
tapi sebelumnya memang ada jawabnya
yang pasti tadi dengan bukti nyata

tindakanmu bercerita
menjelaskan semuanya
dengan kata simbolik terpancar isi hatimu
kau tak perlukan penjelasan
aku memahaminya dari dulu
hatiku sudah bersedia
resahku sudah terjawab.

~ Ave August

Monday, October 7, 2019

KAU SELALU DALAM INGATAN

Tiap kali aku lihat sulam di bibirmu
jiwaku jadi kacau bilau
sungguh hendak hati mengucupmu
mampukah lagi
setelah hari itu kautinggalkan aku sendiri
terlentang di lantai jernih
yang tadi putih bersih
kini kosong
basah kerana air mata.

Betapa jauh kaupergi ingatlah
kauselalu dalam ingatan.

LAUT GELORA

Sehari dua aku resah
kelibatmu hambar tanpa bicara
kurenung rumput menghijau
melambai tenang
tapi aku termenung gelisah
sebak kian terasa
bertahan kerana gagah aku
tika mengharungi laut gelora.

~ Ave August

SEAWAL SUBUH

Seawal subuh
kurenung hatimu dari kejauhan
sepi beku
tanpa kata
dingin bayu menusuk sumsum tulang
tenggelam dalam kepekatan malam
bayangmu
kutercari-cari
tiada salam
senyap ditelan sepi.

~ Ave August

TITIK CAHAYA

...takut aku
resah lalu pasrah dalam sedu tangis di hati
engkau umpama bintang nun jauh
cuma titik cahaya terlihat
ke padamu aku mahu
tapi bagaimana

engkau bagai merak dalam sangkar
ingin terbang di langit berahi
akupun begitu
ingin menongkah butir pasir di gigi pantai
seperti dulu...

Saturday, October 5, 2019

RANGKUL WAKTU

...setiap detik waktu kita berdua
dilalui dalam tabah
bukan selalu sengaja, bukan
kita rangkul waktu berharga itu
dengan senyuman
gelak tawa
sedikit marah
pasrah
demi cinta

dalam bebayangan kita kukuh
merintis waktu
dalam tangisan kita tempuh
rindu.

Friday, October 4, 2019

SAAT TEDUH













Saat teduh menyedarkan aku betapa diri ini mencintaimu
bersama siulan alam
bersama lambaian ketam
kita menyulam perasaan
tinggi ke awan

Aku menyayangimu segenap hati
kuserahkan seluruh taman kepadamu
kita semai benih bunga asmara
perlahan dalam kenangan

bebatu karang kita temui
dan tahukah sayang dahulunya batu itu hidup dengan aman
nun jauh di dalam lautan
berbagai rona sesedap mata memandang; apabila kita selam

seperti kini kita selami hati untuk mengerti
akan pertemuan sakti ini
matahari jadi saksi
ketika cinta terbit di suatu senja lalu.

Thursday, October 3, 2019

SAMA RINDU SAMA CINTA

...pada malam tanpa bulan
sama rindu sama cinta
di hati bertapak
segugus kunci kebahagiaan

dadamu nan kembang
bikin aku rawan
bibirmu bersulam
bak awan dan lautan

pelukan
demi pelukan
punca tulus kekuatan
damai sefahaman.

YANG PERTAMA

...tiada kata
seindah katamu
kupercaya
tutur katamu tiada dusta
jika ada
akulah orang pertama yang terluka.

Bukankah benar?

~ Ave August

BUNGA PILIHAN

Aku mahu
biarpun hanya seketika
di situ terasa
nikmat madunya
kumbang mana yang tak mahukan
debunga di taman itu
hanya bunga pilihan kumahu
kerana nikmatnya sungguh istimewa.

~ Ave August

Tuesday, October 1, 2019

TERTANYA II

Aku menanti salam maaf diterima
Perlu aku merayu
Perlu aku sujud
Aku malu sebab siapalah aku di hatinya
Hanya sampah yang dikutip dan dibersihkan
Dikitar semula?

Menangis aku dalam diam
Tiada yang tahu
Berbaloikah aku berbuat demikian
Adakah rasa sayang di hatinya
Atau aku ini hanya umpama mainan
Untuk puaskan hatinya saja?

Aku tertanya...

~ Ave August