Thursday, July 25, 2019

CINTA PADAMU

entah kenapa
dalam beribu bintang
kala ini dalam hatiku hanya itu nan bersinar
terang
apakah kerana ia dekat sekali di hati

tentu
telah tentu ia paling dekat
walau setiap waktu kutatap langit zulmat
hanya engkau menyinari

bukan kerana mewah
jua bukan kerana keterlaluan
engkau sederhana
sangat sederhana sayang
yang lalu membuat hatiku rawan

kalaulah mampu kutebus masa lalu
pasti engkau kini dalam dakapku
bercerita tentang hal-hal mudah juga hal-hal payah
bersama
sama-sama...

tika payah terlalu melelahkan
mungkin air matamu meredahkan segala resah
betapa indah hingga aku mengalah
kau mampu merubah segala
cuma;

aku mungkin terlalu tabah
tatkala pernah mengharungi lara
onak duka
jadi bagaimana
apakah harus kuberserah
mengabadikan sajak indah antara kita berdua

aku mengaku,
AKU CINTA PADAMU! ~ mas carra

DIPETIK BUNGA

Menjelang senja hati ini ragu
Adakah kerana merpati putih itu
Fikiran ini tergangu
Jika benar ingin dilepaskan
Izinkan untuk menyimpan segala kenangan
Agar hati yang rawan selalu terubat...

Di tembok berdamping stesen petronas aku tunduk
tidak mahu melepaskan merpati putih pada kali ini
inginku bersamanya menghabiskan sisa cinta seadanya
pun aku ragu...
benarkah merpati putih itu selalu mengingatiku
apatah lagi memori tahun lalu
tika musim bunga bermula...

Setiap kali masa berlalu
Kemanapun perginya ingatan itu tetap ada
Segala memori tersimpan rapi
Sering terbayang dan bermain dalam mimpi
Namun malu diakui kerana ragu...
Setiap soalan cepumas tiada jawapan yang pasti

Namun yang pasti bunga-bunga menari
menghiasi alam hidup ini
walau seminit
aku berjanji takkan pergi dari sisi
takkan pergi walau seminit...

...aku juga berjanji
takkan pernah menyentuh bunga itu
melainkan direstui olehnya
walau dalam hati ini
ingin sekali memeluknya
dan...

Janji itu aku suka
Biar bunga itu sentiasa berseri
Tanpa disentuh nikmatnya tetap terasa
Cukuplah dengan harumannya
Jika diizinkan untuk menyentuhnya
Takut terus dipetik  bunga itu...

KESAN LUKA

Hening pagi yang nyaman
Dikala cengkerik tak lagi berlagu
Kutitip salam rindu pada angin
biar hembusan bayunya
Megejutkan lena sang rembulan

Terjagakah dia
Di sini aku menanti duka tiada jawab
Sepi dan terus sepi tanpa kutahu
Dukamu dukaku juga biarpun tiada bicara
Mengalah rela dan tidak
Sedalam lautan kurenangi mencari jawapan
Aku hampir lemas

Biarkan diri ini lemas
jika jawab ada didasarnya
Tidak kukesal biarpun harus menahan nafas
Sepi itu buatku kesal tiada petunjuk arah

Jika benar tiada lagi sinar buatku
Kufahami diri ini compang camping
Lusuh tak berdaya dan kolot
Mudah diperdaya kerana mulusnya dirimu

Takutkah aku
Walaupun aku tenggelam ke dasar
Tetapku bertahan untuk kembali ke alam nyata
Di situlah aku bermula
Biarlah kisahku dan dia berakhir
Diri ini tetap teguh tanpa ada kesan luka

ROPUHAN

indahnya subuh sebelum tandaha berlagu
inai bangkit perlahan-lahan ke ropuhan
kayu kering dikumpul api marak kerana sikarap
soogi bertalu-talu lalu cahaya menyinari

inai tersedu-sedu menangis
siapa mahu tahu
siapa tahu mengapa
mata ropuhan saksi kejadian

marak api, air dijarang kili
pangi di para setia menunggu
dalam kepulan awan, pangi yang putih kini hitam ronanya
kalah bertarung asap

ondu bangkit rindunya
bersamping ropuhan menghilangkan gigil
tatkala merenung linopot
nasi longot tadong nan wangi

itu dahulu
ropuhan peneman seawal pagi
kini kau hilang ditelan zaman
adakah secebis kisahmu dinikmati
belum tentu semirip lalu
kisahmu kucoret di sini agar ada rindu menjejakmu

DVELYN MISON
Tamparuli
5 November 2018

Glosari
Ropuhan—dapur kayu
Pangi—buah kepayang
Soogi—tiup
Longot—nasi dicampur ubi dan keladi
Sikarap—getah
Kili—cerek
Tadong—beras bukit yang berwarna hitam
Tandaha - ayam jantan
Inai- nenek
Ondu - anak lelaki (cucu)
Linopot - nasi bungkus