Saturday, January 31, 2015

EKSKLUSIF (Untuk MH370)

Setahun telah aku lewat bicara
tanpa kata
kubiarkan mereka
mengulas tanpa noktah
hingga semalam,
masih ada yang mengata...


ini eksklusif untuk kemajuan dunia!
engkau memandang jauh...
tinggi ke bulan
ke hujung alam semesta
bertahun-tahun cahaya jaraknya
sedangkan dekat yang kau lupa tanya

adakah kemajuan yang kau serah
hanya untuk di mata?
bermegah-megah
dalam hati bumi tidak kau suci
segala yang merugikan kau tanam dalam bumi?
apa jadi pada lautan Hindi?

hanya empat kilometer mendalam
tidak mampu kau selam?
tahi bintang yang datang ke tepi
nama sempat kau beri,
tarikhnya datang kembali kau pasti
kenapa dalam hati sendiri tidak jauh kau selami?

tolong cari!
sampai kami puas hati
biar mati tapi tolong cari dan terima kasih
serlahkan kepintaran dunia ini
untuk apa kita maju jika warga bumi tidak dapat kau tolongi?
untuk apa?

Friday, January 30, 2015

KEDAMAIAN

Apakah damai yang aku cari?
adakah bila hati dicintai oleh segenap kekasih
atau adakah bila semua yang kukehendaki terbeli?
Persoalan damai ini masih lagi tercari-cari,
dikatakan juga oleh para misteri
bahawa damai andai berimani...
tunggu,
semalam aku tidur keletihan
setelah siang hingga ke awal malam aku berjuang
untuk siapa dan dunia.


Bila mula kulelapi mata selepas mandi
kesegaran untuk baring amat merangsang kedamaian
ya tidurlah damaiku
kerana esok pasti tidak kumahu bangun lagi jika boleh dipilih
aku mahu terus bermimpi
pada setiap mimpi terselit pusingan seri
tiada yang benar pada ketika itu
tapi damainya
kau pun tahu bila mula membangunkan diri pada setiap pagi
kalau boleh dipilih, aku tidak mahu bangun lagi.

Thursday, January 29, 2015

PUISI: SEBUAH REFLEKSI

Mata melihat pada kekasih
terhimpun puji seri bidadari
kerana asyik
lihat cantik
mata melihat pada yang sakit
terhimpun rasa simpati
kerana sakit
teman ada yang pergi dulu

seakan hidung menghidu pelamin biru
terhimpun syahdu rasa merindu
kerana bau
minyak wangimu
seakan hidung menghidu pekat berbau
terhimpun seikhlas pasrah
kerana bau
kentut kekasihku

seakan bibir mengunyah masakan ibu dan bakal ibu
terhimpun rangkap doa sejahtera
kerana hidupku
dari air tangan kamu
seakan bibir leka bercumbu subuh
terhimpun nafsu hikmah bersamamu
kerana cumbu
kita terus utuh

seakan telinga dengar bisik tangisan
terhimpun syukur dan lega beban
kerana anak dan isteriku
selesai berjuang
seakan telinga dengar setiap malam
terhimpun geram tidur tidak kesiangan
kerana siang
dan malam menjaga

seakan jari sentuh ubun tersayang
terhimpun hasrat tinggi menjulang
kerana girang
konvokesyen akan datang
jari tutup album gambar semalam
terhimpun lagi sebuah kenangan
kerana akhirnya,
aku seakan menang harungi kehidupan.

Namun...
seakan kumula sepi lagi
setelah tadi
ruang memori kuimbasi
menerusi garis masa refleksi mungkin puisi pernah mengerti
kerana dalamnya bersemi kisah waktu bila kusendiri
membentuk satu lagi puisi...
Puisi: Sebuah Refleksi

diPohon Maskara

Aku menamakan penaku "diPohon Maskara"
agar engkau tahu,
betapa apapun perilakumu terhadapku
aku tetap utuh
kerana kutahu
bila saja airmata ini mengalir rindu
dan pilu,
aku tahu...
maskara ini turut lusuh
biarlah kujadi pohon begitu
agar tidak perlu lagi kucari di mana kusimpan maskaraku
pintaku,
kembalikan hatiku!
yang pernah kau runtuh.

PELANGI KASIH

Tepunya telah sampai
aku membawa diri ke padang hijau
langit turut risau
lalu menutup sinar bumi
menjatuhi titis kealpaan...


tangis ini menyeru kesabaran
semakin tabah semakin bersendirian
menggigil kuketakutan
takut hilang pedoman
yakni harapan...

bila hujan mula tenang
begitu pun jua sedu ini
kukesati urai rambut yang kebasahan
raut wajah berbahasa
indahnya pelangi kasih yang menjelma...

KELIHATAN

Awan,
ada di malam
cuma tidak kelihatan
percayalah...
kerana malam tidak akan panjang
siang pasti datang
dan awan yang kukatakan akan kelihatan.

Wednesday, January 28, 2015

DI JAKARTA

...
dadaku sangkut sejenak
luncurnya terlalu pekat
selekoh separuh bulat
kulambai dari hati
Kota Kinabalu


fuh...
minit pertama
dua jam empat puluh telah mula kukira
tadi dilupa terlalu mahu nyawa
jarak meter pertama
ukurnya seribu tujuh ratus kilometer

hm...
gadis di sampingku mula menelaah
kisah ayam di Jakarta
ayam Presto lambangnya
potret ala Darlie
mirip juga Sanders

aduh...
melihat menu pakar
aku mula lapar
menu di awan
kusimpan dalam penangan
kekenyangan

...
tidak pantas melelapkan
kepul awan indah kelihatan
aku bakal melaram
di kota Jakarta
walau hanya satu malam.

BUKAN SIAPA-SIAPA

Aku miskin harta
tapi kaya kata
untuk siapa
untuk atma
bukan siapa-siapa.

CECITAKU

Aku berjaya kerana geguru,
sampai hari ini masih kerana geguru
tapi aku ke situ...
isi hatiku
biar kau tahu cecitaku.

DUA PULUH PERKARA

Seseorang perlu lakukan
atau mungkin aku
tapi bukan...

kandas di tepi jalan
hendak hubungi
tapi tanpa saluran

memekik sekuat atma
dan pergi
dengari laungan api

daulat yang tergadai
jejasi ketenangan
siapa seseorang?

Dia,
anak jati pertiwi
berani mati!

Sunday, January 25, 2015

MUNTAH

Bunga api bunga matahari
ibu beli di kota tinggi
katakan putus dan teruslah pergi
jangan kau berani berpaling lagi


awan laju di tengahari
seperti hari berganti hari
hairan aku setiap pagi
berat badan semakin tinggi

belum lagi ayam berlari
resah gelisah terbangun pagi
belum lagi aku mengerti
apakah aku...? Mati!

muntah seringkali muntah seri pagi
terasa mimpi ngeri dirotan ibu sendiri
hari ini aku insafi
perutku sudah berisi...

SEPETANG DI MALAYSIA

Argh...
nikmat hirupi kopi panas Tenom
dan melabuh tubuh di kerusi malas
tebaran akhbar tempatan dari lipatan
tajuk depan tertulis, "Militan"


pasti berita hangat
tidak rugi berbayar hotel ini
percuma diberi
diselak bawah pintu
mata tak ikhlas membaca tapi hati tertanya

oh...
latihan rupanya. Terima kasih sudah maklum.
Argh...
nikmat kedua hirup kopi Tenom
dan perjalanan petang diteruskan

tajuk-tajuk kecil dan sederhana kupintas setiap satu
ada tentang keriakkan politik
kesedaran malang dan hilang nyawa
ada tentang sastera, pendidikan, dunia, ubat terlarang, orang hilang, banjir
saman, jualan, lelongan, tender, penghargaan, pujian, cabutan, sukan...

kopi sudah habis
minda penuh hiburan perut kurang kebuluran
hanya sepetang di Malaysia
kehendak editor jadi sejarah
rasa hati pembaca bergaul suka dan duka.

TUMPAH

Kumemasak sepenuh rasa
yang akhirnya lewat tumpah...

Thursday, January 22, 2015

LUNAS JANJIKU

Adapun Taj Mahal bukti cinta yang mendalam
mampunya tidak kubina mahligai seutuh begitu mahal
dan adat ini telah memisahkan kita
Patrilineal memberi hak kepadamu untuk melamar
bukan aku


asalku turut menyusahkan
Brahmin keturunanku dan engkau Ksatriya
betapa jurang ini selebar tinggi Canyon
laksana langit dan bumi
sebaliknya cinta kita sama

mahar kupinta sekadar ada
hanya setia yang memintal kita
tidak kesampaian hendaknya
keluargamu telah bercerita dengan mereka
kamu akan berkahwin di Goa

ini kukatakan kepadamu
bukti cinta yang perit dan pahit
...kutunggu kau jadi janda,
dan akan kujadikan kau isteriku
walau nanti dimamah usia

sambil menyanyikan lagu Jana Gana Mana
pesta warna tidak lagi bersama Gangga
tinggal sebuah warna
biru...
serba biru sambil kutunggu lunas janjiku.

LUAH

Kuluahkan kepada bintang
tapi awan menghalang

kuluahkan kepada teman
tapi dia tak senang

kuluahkan kepada puan
tapi rambut itu sungguh menyeramkan

kuluahkan kepada alam
tapi alam penuh pencemaran

kuluahkan kepada ayah
tapi ayah masih bekerja...

kuluahkan kepada ibu
tapi diberinya aku sagu
katanya,
manakan dapat sagunya jika tidak dipecahkan ruyung
jawabku,
aku mahu meluah tapi takut pecahkan hati sendiri.

KAWAN RAPAT

Dari tadi aku menangis
tepi jalan
berlalang panjang
telah lalu tiga puluh minit yang panjang
becak tanah berlumpur


bukan itu yang kutangisi
menasihat satu guru
dan datang guru demi guru
satu-satunya yang disuruh, masuk kelas
dan pujuk cukuplah menangis

aku masih menangis...
meraung selang masa
menegaskan
aku tidak mahu sekolah!
tidak mahu! rasanya seperti ayat tadi di rumah

lalu merapat kawan rapatku
bisiknya,
kenapa kau?
tanpa kedengaran oleh para guru
kuhembuskan halus kata, "Tiada pakai sependet, basah."

Wednesday, January 21, 2015

PENGHIBURAN DARI-NYA

Melihatku ke arah gunung
terhiburnya hatiku...
melihat betapa besar kuasa-Nya
sanggup aku tidur,
sanggup aku mati di sana
kerana sebelum jantung ini berhenti
telah pun aku memuji Dia...

BATAS AGAMA DAN BANGSA

Kelihatan manusia mahu berkembang...
tetapi seringkali tersekat oleh batas agama dan bangsa.
Nampaknya kita masih terkawal oleh minda zaman prasejarah?

PANDANG MEDITERRANEAN

Sesampai di sana
kita akan berlari kecil di jeti
sambil berpegang tangan sesama kita
kupandangmu di belakang senyum
nian keliru...
ke mana akan kubawamu


sebelum tangga itu
kau erat genggam jariku
kutahu takut kau kita melintas berbuta tuli
sayang-sayang...
di sini bukan seperti di sana
hanya ada pejalan kaki

tanda itu tertulis, "Welcome to Malta"
kita memintas Paris
dan landas di Palermo
terus ke Bagheria
Caltanissetta, Sicilia, Syracuse, Avola
dan berlayar dari Pachino

kita berdua malam ini hanya di Valletta
sambil memandang ke laut Mediterranean...

Sunday, January 18, 2015

MENANGISLAH

Menangislah...
syurga tiada lagi tangis kerana semuanya indah
neraka pun jua kerana kering airmata dipulas api denda.

APATAH LAGI

...dengan sebuah lukisan sahaja, engkau sudah resah.
Apatah lagi senjata.

GURU

Guru umpama buku,
semakin lama semakin lesu... tapi ilmu kekal di situ.

KESABARAN


TIDAK BERBUNGA

.................tuan.................
...............aku lihat.............
.....tapi tidak tuan lihat.....
......tidak aku berbunga......
.....lupa tuan aku bunga.....
..satu pagi tuan jeling aku..
...aku tahu, kau pun tahu...
.kerana tidak aku berbunga.
kenapa tidak aku berbunga
................adakah.................
................kerana.................
...............kumbang...............
...............lalu tidak...............
...................aku....................
..........mengembang?...........
............kembangkah.............
....................bila....................
...................tidak...................
.............berbunga? ..............
...................usah...................
...............salahkan...............
...............kumbang...............
...............aku yang...............
...........belum matang...........
............pohon mawar............
........umur baru sebulan........

MAHARANI MAHU

Malam-malam manjakan muka
mengharumi menu mesti
maharani
mahu mandi

makaroni mengkhayalkan
makin malam makin mengasyikkan
maharani
mahu makan

meski montel mujur manis muda
moga-moga malu melayang
maharani
mahu menari

malam masih muda
mawar mana mampu memuaskan...
meski mekar merah menyala
maharani mahu maharaja.

MEKAR MEWANGI

Itu hari...
kelopak bunga nan gugur
sinar hatiku bak gerhana
dikuburi badannya

telah pergi pengubur
di sini masih aku
tingkat sepi bersemi
enam kaki ini hati

Badawi...
segar masih senyummu
bahakmu kekuatan
akrabmu di tinggalan

teman kembang selari
diputik Insan tertinggi
layu senja pertiwi
mawar hiasi memori mekar mewangi.

BIARLAH

Ayahku miskin
dan berhati keras
dalam jalan hidupku
aku sedar...
wanita sukakan bunga
ibuku juga

kuhadiahi ibu sejambak bunga
ya...
merah mawarnya
dan terpancarlah wajah indah
walau bukan dari suaminya
tapi dari aku anaknya

dan aku tahu
bila sudah begitu
masaknya akan cukup terasa
walau kadar biasa
ikan masin berpaut kuah
bersyukurlah dan biarlah kisah ibu dan ayah.

RAHSIA

Berbunga apa
untuk siapa...
nanti takut ada yang terluka
gesek semerbak bunga
adakah cukup sekadar gubah?

Maaf
aku war-warkan
walhal lebih
afdal aku
rahsiakan bunga apa.

APA KHABARMU

Bukan tentang puisi
dalam bebait indah
yang kuharapi,
isi hatimu

bukan tentang bunga
yang harum dan juga lawa
yang kuharapi,
kau hargai aku

bukan tentang nama
yang telah diberi padaku
yang kuharapi,
hanya satu dalam hatimu

bukan tentang berian
mawar putih kusimpan di pusara
yang kuharapi,
khabar darimu...

MAWAR ATAU ROS

Ditanam mawar di kampung halaman
indah diteman seratus alam
sungguh tenang
mata yang memandang

ditanam ros di metropolitan
indah diteman sejuta neon
malam tenang
siang berlawanan

mawar atau ros
mawar
atau
ros?

dedua si dara cantik
dedua kembang jejambak
duri sama banyak
merah umpama marak

maka,
kupilih leher yang jinjang
duri tetap ada
cuma jarang-jarang.

Thursday, January 15, 2015

DOA BUAT KEKASIH

Andainya aku bertanya padamu tentang bahagia
di mana nilai setia di manakah puncak cinta

mahukah engkau mengerti harapan serupa mimpi
ianya dapat terjadi atau hilang tak berganti
 

sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa
meniti arus angkara
lupakan kisah yang lalu teguhkan tugu imanmu
doaku buat kekasih...

yang dulu usah dirindu hilangkanlah dari hatimu
doaku buatmu kekasih...

Cover by Liyana Fizi 

https://www.youtube.com/watch?v=jNTLUHOQDJ4


Tuesday, January 13, 2015

SAMPAI AKU MATI

Tulang rangka Red Lady
dianggarkan berusia 26,000 tahun
cinta di hati,
mungkinkah lebih daripada itu?
Atau mungkin melebihi usia tulang dinosaur iaitu 65,000,000 tahun?

Jadi, apa maksudmu 'selama-lamanya'?
Bagiku, secara sederhana, cukuplah kukatakan kepadamu bahawa aku cinta padamu sampai aku mati...

AIRMATA BERBICARA

Percaturan
kumulai dari satu langkah
tegas mahu syabas
dirancang dan diharungi
titi hidup yang penuh rongga
silap langkah sering kugaru kepala

masih aku berazam
pada lembaran tahun baharu
tertulis,
tertulis jelas dalam diari
hari-hari aku impi...
dan mimpi
tidak kusangka
titi tadi sempit sekali
kuingatkan lebar 'kan kulalui
rupanya...
aku telah mengerti
sendiri kena jaga diri
kini kulalui
detik-detik yang mungkin
tiada siapa yang mahu mengerti...
betapa suara hati tidak lagi mampu melewati
tinggal airmata berbicara
pada malam dan hujan yang jadi teman.

TIDURLAH

tidurlah wahai hati
walau mata masih perhati
pasti
dia mengerti
lalu tidak ingin bersendiri...

NOKTAH HATI

Hang nurani
tidak akan berhenti
hampir juga ia mengalah
mengharungi siulan sangkakala
walau kala tulis ini seperti mahu terhenti
nurani terus memeri
melakri setiap hari
tanpa noktah hati
memanduku di saat buntu
bila penat di kalbu
bila semakin rindu
selalu hingga jadi teguh.

KENTUT

Kentutku berbau telur
bagiku
itu syukurku
apa yang dijamah hulur
aku makan,
kerana itulah kuhidup
usah kau cemuh
belum tahu bau kentutmu.

Saturday, January 10, 2015

BUAT

Tidak ada yang akan selesai
melainkan engkau henti berharap... dan buat.

PUNCAK RINDU

Sudah pukul sepuluh
rasanya masih pukul tujuh
sudah di puncak rindu
kini masa bertemu...

PUKUL

Sudah pukul sepuluh
rasanya masih pukul tujuh...

CABAR CINTAKU!

Cabarlah cintaku!
cangkuklah
cederakan
cencang
cabiklah
 
campak
cacilah
cemari
cemuh
cakar
curi
cubit
cekik
cucuh
cucuk
curiga
cungkil
curangi
conteng
cuba culik
cuma ceraikah!
cukupkah contohnya? Cukup!

DIMAKI

Biarlah aku yang di hatimu
walau hanya seketika
aku
kau ingati
dan dimaki-maki...

MERAH JAMBU

Jelingan matamu
jelingan yang padu
iris itu buat diriku layu
lihatlah aku
lihat selalu
agar hari bermakna padaku


kau cantik hari ini
sungguh cantik dan bergincu
merah-merah jambu
bergoncangan hati perindu
bila terima warkah nan biru
berwajah juitaku.

KESIMA

Andai
kuberikan kau permata
bersinar bagai bulan purnama
penyeri hidupmu selagi kubernyawa
terkesimakah dinda...


...tidak kanda
nilai permata pernah sampai sejuta
bukan itu yang kupinta
tapi cinta yang percuma walau tidak sempurna
cukuplah hadir kita berdua
satu rumah
hidup bersama dalam suka dan duka
selama-lamanya...

PUTUS

Setelah berputus cinta
takut aku mencari maknanya...

SERI RATU

Merdu siulan sang burung Kenari
bersama pancaran mentari
indah alami
gelombang si Nari
jantungku melayang-layang
sendiri...


seri ratu
lalu seiring masa
berhari-hari dan berabad lamanya
senyumku tidak akan berserah
tiada pengakhir tak tahu mulanya
kisah cinta terus bercerita...

JADIKAH

Jadikah jalinan jejambat jiwa? ...jawab juita.
Jelaskan jujurmu
jadikah?
jelmakan jari jemarimu
jika jodoh jadi jutawan
jejambak jingga jadikan jenjang
jambangan jalin jantungmu jantungku.


Bermaksud:
Si pelamar bertanya kepada kekasih, jadikah mereka kahwin. Jika jadi dan pelamar banyak duit, jalan ke pelamin akan dihiasi dengan bunga-bunga warna jingga. Ikatan hidup dan mati terjalin oleh kasih sayang.

‪#‎PuisiHanyaSatuHuruf‬

CEMBURU + BIKIN PANAS + MELEKAT

Cemburu ini kupendam rendam
semakin lama
semakin bikin panas
asyik melekat bersama dia
aku di sini
kau simpan mana?


Cemburu ini kujemur di jemuran
biar hilang segala kotoran
putus pula tali ampaian
bikin panas
tanah melekat semula
aduhai!

Cemburu ini kuramas semula
kupulas-pulas dengan hati yang memanas
melekatlah wangian aroma daia
rasa sayang
hendak dibuang
tapi jangan... baju lama kusimpan kenang.

MENYANYILAH

Antara ciri wanita yang kupilih jadi isteri ialah pandai menyanyi...
begitulah caraku memilih dia dahulu.

Jadi, menyanyilah.

AKAD

Ambillah aku arjunaku
ambillah aku adab adanya
abadikan
adinda akad akan akrab
akur akan akhirat
alhamdulillah...


Alun amanah akanku andam
andainya aneh
ampunilah aku
antara aral antara arus
akanku arcakan
astaghfirullah...

Ambillah aku arjunaku ambillah aku adab adanya... 

#‎PuisiHanyaSatuHuruf‬

TERKESIMA

Salam pagi Qasidah
petahmu buat aku terkesima...

Friday, January 9, 2015

DAHSYATNYA

Aku lihat tenang indah sang lautan
dahsyatnya juga cantik dipandang hormat...

HATI-HATI

Hati-hati memilih angan
jika hendak maju ke depan
hati-hati memilih kawan
jika mahu sigup-sigupan.

PASTI

Mungkin engkau telah ke sana
aku belum...

Mati itu pasti.

USAH

Usah merisaukan tentang hari esok
kesusahan hari ini, cukuplah untuk hari ini...

VISI

Veterinar visikan vertebrata
vulcan visikan vokasional
ventilator visikan vaselin
vegetarian visikan vanila
vietkong visikan valensi
veteran visikan versatil
video visikan visual
virus visikan visa
visiku vis-a-vis
vis-a-vis

Bermaksud:

Setiap orang mempunyai impian dan semoga impian itu jadi kenyataan (vis-a-vis)...

#Puisi Hanya Satu Huruf (HSH)

QASIDAH

Quran qidam
qada qadar qalqalah
qari qariah qiamullail
qunut
qadim qasidah.

Bermaksud:

PUISI
Quran itu abadi
bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah yang jelas
lelaki dan wanita beribadah pada malam hari
taat dan mendirikan perintah Allah
tidak ada permulaan bagi adanya bagaikan sebuah puisi.

#Puisi Hanya Satu Huruf (HSH)

XILOFON

Xilofon-diurai xilofaj
xilofaj-disepit xelonit
xelonit-ditemani xenomorf
xenomorf-diwarnai xerofit
xerofit-dinyawai xilem
xilem-disaingi xenon
xenon-dicari x-ray... 

Bermaksud:

XILOFON (Sebuah alat muzik)

Xilofon dirosakkan oleh serangga
serangga disepit oleh batu xelonit
xelonit ditemani oleh xenomorf yang tidak mempunyai ciri bentuk hablur disebabkan tekanan mineral yang berdekatan
xenomorf diwarnai xerofit iaitu tumbuhan di kawasan gurun
xerofit dinyawai oleh xilem iaitu pembuluh kayu yang menyalurkan air dan nutrien
xilem disaingi oleh xenon iaitu unsur gas tanpa bau kerana masing-masing tidak kelihatan oleh mata kasar
xenon tidak mampu dilihat melalui sinar x-ray...

#Puisi Hanya Satu Huruf (HSH)

DADAH

Dahagakan dadah
dia daki dataran dosa
dekat dengannya
didatangi demam derita
dorongan drama disusuli duga
dadah durjana duta dukacita.

#Puisi Hanya Satu Huruf (HSH)

Wednesday, January 7, 2015

TENANG SAYANG

Tenang sayang...
dunia masih belum berakhir.

DETIK FANA

Atmaku melihat kelibat anak kecil itu
dicucinya bersih-bersih
beg sekolah yang sudah lusuh
dicemari debu-debu
hatinya yang bersih tidak pula mengadu


lalu kutujukan tanya kepada dia
jawabnya: hati ibuku terluka...
oleh air yang datang melimpah
terhanyut segala mewah
kecewa, tidak lagi mampu dikata-kata...

nanti bila aku sudah sekolah
dewasa
nasibnya akan kubela
detik fana yang melimpah-limpah
kujadikan seumpama kebangkitan ummah.

JAGA DIRI DAN JANJI

Aku
akan ke sana
tempatku bekerja

Aku
kekal bersama
di sini hati yang empunya diri.

Kamu
jaga diri dan janji
jaga diri dan janji.

SEMAKIN TUA

aku semakin tua
tetapi cinta akan terus bercerita...

SEMAKIN RAPUH

Keputusan yang diberitakan oleh kerajaan semakin rapuh
boleh disorong tarik
petanda apa ini?
Adakah aku semakin dewasa ataupun
kerajaan semakin tua? Ataupun media sosial lebih berkuasa?

HUJAN

hujan telah mula menitis
namun bangunan tetap terus dibina...

KENALKAH MEREKA

Jauhari...
menghidupi lelampu neon
tetangkai rerumput dicahayai wewarna jingga
apakah disangka itu matahari
sedangkan ia hanya ilusi yang menghiasi jejalan kota

Jauhari...
menipu lagi
menipu alam yang lebih dahulu
jangan hanya jauhari mengenal manikam
kenalkah mereka siapa yang lebih siasah?

Bernafaskah kita jika rumput tiada...
dan kenapa kau benci ia hingga lebih kau agungkan batu-bata?

RUMAHKU

di mana lagi empuk untuk kulabuhkan diri
kalau bukan di dalammu rumahku
sendiri...

Tuesday, January 6, 2015

BERPISAH

terpadam api asmaraku
oleh titis airmata orang tuaku
hubungan antara kau dan aku tidak akan ke mana
kita berpisah...

FACEBOOK

Aku suka, bukan cinta.

HATI BLUEBERRY

Berbekali selantera jingga
ku korbani malam cahaya cerah
kutiduri diri dalam keheningan cinta
kelibat bayang indah sedang menggaul rata


petah dia resah
hatinya tidak sanjung luah
lakunya seperti biasa
tanpa kata pun aku rasa sayangnya

detak erata pada masa
penyesalan langsung tidak bergula
syukur kupanjati kepada dia
kekal setia walau nan susah

usah tangisi hehari kecewa
nur wira bukan hanya pada sasa jejaka
ketuhar yang buka mengangguni wanita
kek hati blueberry manisi secebis duka lara

Saturday, January 3, 2015

TAK MAHU MELEPASKAN

sang mentari terbit
bila burung sudah mula berkicauan
rasa mekarnya cinta menghangati hari
sang mentari benam
bila burung sudah mahu pulang
rasa hilang pedoman ingin mahu berteman tak mahu melepaskan

GELAPNYA AWAN

dalam kegelapan malam
aku masih dapat melihat betapa gelapnya awan
hujan akan turun alamatnya...

HANTU

semalam
sudah tengah malam
satu ekor kerbau jantan dua ekor betina
satu ekor anak kerbau masih meragut rumput
patutpun nenekku bilang jangan makan mata kerbau
nanti boleh nampak hantu

INGAT PADAMU

tahukah
engkau kekasih
apa yang selalu akufikirkan
di saat-saat aku sedang sendiri selalu saja ingat padamu...

MERANAPKAH

tiga hari aku menunggu
hadirmu Jangmi
tapi tidak langsung kau sua aku
dari khabar berita engkau telah tiada...
kutunggu kau tak datang kutaktunggu datang sampai meranapkah?

JANDA MUDA

aku lihat engkau belek botol susu itu
mustahil...
engkau sudah berpunya
dengan tubuh yang molek begitu
dari rambut hingga ke hujung kuku kakimu
mustahil...
aku suka

KAU TAHU

Aku mencintaimu
lebih dari yang kau tahu...

SELAMA WAKTU

Aku mencintaimu
selalu dan selama waktu...